Perkembangan terkini kepulangan rakyat Malaysia yang dihalang keluar dari Korea Utara.

SHAH ALAM – Seorang wanita berdepan detik mencemaskan apabila anak lelakinya berusia setahun terperangkap kira-kira setengah jam di dalam kenderaan miliknya di Taman Sri Muda hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira 12.10 tengah hari tadi.

“Anggota bomba sampai di tempat kejadian kira-kira 10 minit selepas mendapat panggilan dan kelihatan seorang kanak-kanak lelaki terperangkap dalam kereta jenis Perodua Alza.

“Dimaklumkan bahawa kanak-kanak itu sudah terperangkap hampir 15 minit sebelum ibu kanak-kanak itu bertindak menghubungi bomba,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, sistem kunci kereta itu yang berfungsi secara automatik dipercayai menjadi punca mangsa terperangkap.

“Ibu kanak-kanak itu menyedari pintu kereta terkunci dari dalam apabila gagal membuka pintu di bahagian tempat pemandu selepas meletakkan mangsa di bahagian tempat duduk belakang,” katanya.

Mohd Sani berkata kanak-kanak itu dikeluarkan kira-kira lima minit kemudian menggunakan peralatan khas tanpa sebarang kecederaan. -MalaysiaGazette.