Ribuan peserta perhimpunan RUU355.

USUL Pindaan Rang Undang-undang (RUU 355) yang ingin dibawa oleh Pas ke sidang Dewan Rakyat masih menjadi pertikaian sampai sekarang.

Ada yang melihat pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1966 itu sebagai satu agenda yang sengaja dibangkitkan untuk tujuan politik.

Apa tidaknya, ketika Pasmencetuskan perkara itu, ia kemudian telah mendapat bantahan daripada DAP yang menyatakan tidak bersetuju dengan usaha tersebut.

Lantaran itu, berlaku perdebatan antara pemimpin-pemimpin kedua-dua parti dengan hujah-hujah yang menyokong pandangan masing-masing.

Sebahagian reaksi penyokong wanita yang hadir pada Himpunan RUU 355 di Padang Merbok, Kuala Lumpur. foto ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR, 18 FEBRUARI 2017.
Sebahagian reaksi penyokong wanita yang hadir pada Himpunan RUU 355 di Padang Merbok, Kuala Lumpur. foto ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR, 18 FEBRUARI 2017.

Dalam hal ini, pihak pemerintah pula tidak memberikan sebarang kata putus yang mana jika rang undang-undang tersebut yang juga satu usul persendirian akan diambil alih oleh Kerajaan Persekutuan jika hendak dilaksanakan.

Akhirnya, usaha Pas itu telah mendapat satu ketetapan daripada kerajaan di bawah induk UMNO yang berjanji akan memperhalusi hal tersebut.

Apa yang berlaku ini telah mendapat satu justifikasi daripada pihak-pihak tertentu khususnya pengamal undang-undang apabila sudah melihatnya sebagai satu agenda tertentu.

Ia menurut mereka bukan niat ikhlas untuk menegakkan syariat Islam.

Bagi Pengerusi Biro Perlembagaan dan Perundingan Majlis Perundangan Melayu (MPM), Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman tidak melihat usaha tersebut akan membawa ‘kedamaian’ berkekalan.

Abdul Aziz Abdul Rahman. foto ADIB AIMAN ROSLI, 1 FEBRUARI 2017
Abdul Aziz Abdul Rahman. foto ADIB AIMAN ROSLI, 1 FEBRUARI 2017

Baginya, ia hanya akan memporak perandakan lagi keadaan sedia ada ekoran masyarakat di dalam negara ini belum boleh menerima perkara itu.

Ini kerana, beliau berpandangan, hukuman penjara 30 tahun dan denda RM100,000 bagi kesalahan yang disenaraikan di dalam pindaan itu tidak disebut di dalam al-Quran.

Katanya, lebih baik sekiranya usul yang hendak dibawa itu diterjemah dengan bentuk didikan dan nasihat bukannya cara menjatuhkan hukuman yang sebenarnya hanya memberi kesan negatif terhadap masyarakat.

“Saya baca al-Quran dengan terjemahannya di dalam bahasa Inggeris tidak berjumpa pun dengan hukuman penjara dan denda yang sebanyak itu.

“Jadi, hukum ini telah diubah dan sebenarnya kalau hendak dilaksana pun bukannya mengikut syariat yang betul,” katanya.

Berbeza dengan Felo Utama Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof. Madya Dr. Shamrahayu Abdul Aziz yang berpendapat, pindaan jika diluluskan mampu membawa kepada kesejahteraan umat Islam sejagat.

Shamrahayu Abd. Aziz
Shamrahayu Abd. Aziz

Katanya, apa yang terkandung di dalam al-Quran merupakan satu cara hidup dan kita sebagai umat Islam wajib mengikutinya.

“Memang di dalam al-Quran tidak ditulis hukuman penjara 30 tahun atau denda RM100,000 tetapi hukuman itu boleh diubah asalkan ia bertujuan untuk mendidik dan membawa kebaikan kepada semua pihak.

“Kalau rujuk di dalam al-Quran ada satu kategori yang menjelaskan perkara-perkara yang berkaitan dengan takzir atau menyentuh perundangan.

“Jadi, tidak adillah kalau kita kata hukuman yang hendak dilaksana itu tidak ada di dalam al-Quran ,” katanya.

Bagaimanapun, Shamrayu berkata, meskipun ia merupakan usul yang baru dibawa ke Parlimen namun langkah pelaksanaannya jika diluluskan akan memakan masa lama untuk proses seterusnya.

Ketika ditanya mengapa masih ada lagi pihak yang meragui perkara itu, Shamrayu berkata, ia perlu dihurai dengan sejelas-jelasnya agar dapat difahami dengan lebih berkesan.

Katanya, bukan mudah untuk melaksanakan sesuatu yang baharu lebih-lebih lagi di dalam negara yang mempunyai rakyat berbilang kaum.

Justeru, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang merupakan orang yang bertanggungjawab membawakan usul itu di Parlimen perlu memainkan peranan sebaik mungkin agar hasrat memperkasa syariah dapat diterima dengan baik.

Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang berucap pada Himpunan RUU 355 di Padang Merbok, Kuala Lumpur. foto ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR, 18 FEBRUARI 2017.
Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang berucap pada Himpunan RUU 355 di Padang Merbok, Kuala Lumpur. foto ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR, 18 FEBRUARI 2017.

Mengimbau peristiwa bersejarah apabila perhimpunan menyokong pindaan rang undang-undang tersebut di Padang Merbok pada 18 Februari lepas yang dihadiri lebih 50,000 orang, ia satu petanda positif ke arah perlaksanaan RUU355.

Betul memang ada perbezaan pendapat. Parti pembangkang di dalam Pakatan Harapan pun sentiasa cari lubang-lubang yang bocor dalam RUU355 dan mempolitikannya namun harus diingat keazaman politik Pas dan UMNO juga penentu kepada pemerkasaan mahkamah syariah di Malaysia.

Apa pun kehadiran ribuan peserta menyatakan sokongan agar usaha memartabatkan syariah Islam terlaksana di Malaysia dan lautan ungu di Padang Merbok baru-baru ini wajar menjadi saksi.- MalaysiaGazette