Home Ekonomi Pasaran pertukaran asing melalui proses penyesuaian

Pasaran pertukaran asing melalui proses penyesuaian

KUALA LUMPUR – Pasaran pertukaran asing dalam negeri sedang melalui tempoh penyesuaian dan Bank Negara Malaysia (BNM) menjadi lebih aktif dalam membekalkan mudah tunai untuk kedua-dua belah pihak bagi menangani ketidakpadanan permintaan dan penawaran.

Bank Pusat itu berkata, secara keseluruhan jumlahnya kekal dengan lebih banyak aliran dua hala pengeksport dan pengimport pemastautin menyumbang ke arah mudah tunai pasaran di dalam negeri.

Apabila langkah-langkah ini dilaksanakan sepenuhnya, pasaran boleh menjadi pengantara aliran tanpa perlu penglibatan aktif  Bank Pusat dalam pasaran.

BNM memberitahu,  pada 24 Februari 2017, ia  menyertai bengkel mengenai “Perlindungan Nilai Pertukaran Asing Dalam Negeri bagi Pelabur Bukan Pemastautin” anjuran  Asia Securities Industry dan Persatuan Pasaran Kewangan (ASIFMA) dan Persatuan Pasaran Kewangan Global (GFMA) dengan Bank CIMB sebagai hos.

Perbincangan tertumpu pada perlindungan nilai dalam negeri, mudah tunai dalam pasaran pertukaran asing dan pengaturan operasi bagi pelaburan oleh pengurus dana.

Para peserta juga membangkitkan kebimbangan terhadap paras mudah tunai yang rendah yang dilaporkan dalam pasaran pertukaran asing ringgit sejak langkah-langkah baharu diperkenalkan dan pengharaman dagangan kontrak hadapan tanpa serahan (NDF).

Dari perspektif BNM, sejak empat tahun lepas, jumlah purata transaksi pertukaran asing keseluruhan adalah sekitar AS$2.5 trilion.

Jumlah pasaran harian ialah ukuran yang menunjukkan kemampuan peserta untuk menjalankan transaksi dalam pasaran pertukaran asing.

Jumlah purata harian transaksi adalah sebanyak AS$8.6 bilion, dengan jumlah dagangan semerta (spot) sejak 2016 berjumlah AS$3.4 bilion, manakala transaksi swap dan hadapan masing-masing berjumlah AS$4.7 bilion dan AS$536 juta.

BNM berkata, dengan pengenalan rangka kerja perlindungan nilai yang dinamik dan pasaran perlindungan nilai dalam negeri yang lebih jelas, jumlah transaksi dijangka meningkat dalam jangka panjang dan ini akan memberi jaminan mudah tunai pasaran yang berterusan kepada pelabur bukan pemastautin.

Di bawah rangka kerja perlindungan nilai pasif, kata BNM, pengurus dana dibenarkan untuk melindung nilai berasaskan transaksi atau portfolio sehingga 100 peratus daripada aset mereka yang dilaburkan.

Pengurus dana boleh membuat penambahan secara ber peringkat, menjual semula dan juga membuat penyelesaian bersih lindung nilai.

“Di bawah rangka kerja perlindungan nilai dinamik pengurus dana mendaftar boleh menguruskan kedudukan pertukaran asing mereka secara aktif, yakni membeli atau menjual pertukaran asing hadapan, sehingga (sama ada kedudukan panjang atau pendek) 25 peratus daripada aset di bawah pengurusannya.

“Untuk memudahkan operasi, pengurus dana berdaftar tidak dikehendaki menunjukkan bukti dokumen apabila membuat transaksi pertukaran asing hadapan dengan bank di dalam negeri.

“Pemantauan terhadap pengurus-pengurus dana ini akan dilakukan oleh bank melalui sistem pelaporan pertukaran asing sedia ada (ROMS). Selain itu, juga dinyatakan ialah pengurus dana mempunyai fleksibiliti untuk mendaftar pada peringkat syarikat atau atas asas dana individu.

“Sehingga kini, sebanyak 20 institusi di pasaran, yang terdiri daripada 39 dana, telah mendaftar dengan BNM,” katanya.

Berhubung dagangan selepas waktu rasmi, BNM berkata, bank di dalam negeri bebas menyebut harga pertukaran asing selepas pasaran Asia ditutup dan mengambil maklum mengenai kemungkinan pasaran memerlukan sumber mudah tunai dalam negeri semasa tempoh dagangan dilanjutkan. – MalaysiaGazette