Saifudin Nasution.

KUALA LUMPUR – Gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akan mengadakan rundingan pembahagian kerusi pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) esok.

Pertemuan itu dilaporkan akan memuktamadkan rundingan tersebut yang sekian lama terhenti, demikian kata Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution.

Ujarnya lagi, hanya PKR, DAP, Parti Amanah Negara (PAN) dan PPBM yang terlibat dalam rundingan pembahagian kerusi berkenaan tanpa penglibatan Pas.

“Buat masa ini empat (parti) sahaja, kita jalan terus, lepas ini kita nak selesaikan manifesto, jawatankuasa bersama dah ada, kemudian kita nak bincang strategi bersama, mesej bersama dan program bersama.” katanya di sini hari ini.

Tambah Saifuddin, rundingan itu akan diadakan di Wisma Amanah dan akan diwakili pemimpin keempat-empat parti berkenaan.

PH sebelum ini dibentuk bersandarkan matlamat satu lawan satu antara gabungan tersebut dengan Barisan Nasional (BN) pada PRU-14.

Namun ia dilihat sukar dicapai apabila Pas enggan menyertai PH malah langkah itu akan mengakibatkan pertembungan tiga penjuru melibatkan Pas, PH dan BN.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, persefahaman dan kerjasama yang dicapai oleh PH dan PPBM boleh dicapai menerusi rundingan yang bakal diadakan esok.

“Apa isi kandungan persefahaman? Kita nak masuk PRU-14, nak lawan UMNO-BN secara istiqamah dan jatuhkan mereka seterusnya membentuk kerajaan yang baharu di Malaysia.

“Kerjasama dan persefahaman mestilah sebelum dan selepas pilihan raya. Ini persefahaman yang kita kena muktamadkan,” katanya lagi.

Baru-baru ini, PH dikatakan mengadakan rundingan secara tertutup antara keempat-empat parti dalam pengagihan kerusi Dewan Undangan Negeri di Selangor.

Dalam rundingan berkenaan PKR diberikan paling banyak kerusi berjumlah 18 kerusi dan diikuti DAP 15 buah, manakala parti pimpinan Mohamad Sabu PAN menerima 14 kerusi.

PPBM pula diberikan sembilan buah kerusi.-MalaysiaGazette.