Korea Selatan mendakwa keempat-empat lelaki yang dikehendaki polis Malaysia adalah perisik Korea Utara. foto AFP

SEOUL – Agensi perisikan Korea Selatan percaya empat lelaki Korea Utara yang disyaki terlibat dalam pembunuhan Kim Jong-nam adalah perisik.

Jong-nam, abang tiri kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un mati akibat diracun di klia2.

Mangsa mati pada 13 Februari lalu selepas dua wanita menyerkup kepalanya ketika sedang menunggu di balai daftar masuk di lapangan terbang itu.

Kedua-dua saspek wanita mendakwa berbuat demikian kerana terlibat dalam video komedi.

Seorang lelaki warga Korea Utara, Ri Jong Chol ditangkap selepas beberapa hari pembunuhan.

Enam lagi lelaki turut dinamakan sebagai saspek dan dikehendaki berhubung kes pembunuhan itu.

Empat daripada tujuh saspek yang dinamakan oleh Malaysia bekerja bagi Kementerian Keselamatan Negara Pyongyang, kata pegawai-pegawai perisikan di Seoul kepada ahli-ahli Parlimen.

Empat lelaki yang dikehendaki itu telah terbang dari Kuala Lumpur ke Pyongyang sejurus selepas serangan itu melalui penerbangan yang rumit bagi mengelak China.

Dua lagi lelaki Korea Utara yang dinamakan oleh pihak berkuasa Malaysia ialah pegawai kanan Korea Utara di Kedutaan di Malaysia dan seorang kakitangan Air Koryo.

Kelmarin, Menteri Kesihatan Malaysia memaklumkan Jong-nam diberi kandungan agen saraf VX yang tinggi dan mati antara 15 hingga 20 minit. – MalaysiaGazette