KUALA LUMPUR – Penyanyi dari Indonesia, Afgan atau nama sebenarnya, Afgansyah Reza kini bersedia ‘menawan’ Johor menerusi Konsert Sides Malaysia Tour 2017.

Dianjurkan oleh IME Malaysia, konsert tersebut akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor pada 8 April iaitu Sabtu pukul 7.30 malam.

Peminat penyanyi yang juga penulis lagu itu boleh dianggap bertuah kerana konsert yang disifatkan sebagai berskala paling besar itu bukan sahaja dibuat di Johor tetapi juga di negeri-negeri lain.

Dibawa khas atas pemintaan peminat setia yang menggelarkan mereka sebagai Afganisme, konsert itu juga adalah sebagai tanda sokongan terhadap kemunculan album Sides yang juga album solo keempatnya.

Kemunculan album itu juga membuatkan jadual penyanyi itu cukup padat kerana mendapat undangan persembahan di banyak lokasi.

Namun dalam kesibukannya itu, Afgan mahu memenuhi impian peminatnya dengan mengadakan konsert di Johor seperti yang diharapkan.

Pada malam konsert itu juga, penonton turut dapat menyaksikan kemunculan rapper yang banyak memenangi anugerah iaitu SonaOne sebagai penyanyi undangan.

SonaOne turut terbabit dalam album Sides apabila mereka berpadu suara menerusi lagu X dan Rollercoaster yang merupakan gandingan pertama Afgan bersama artis Malaysia.

SonaOne
SonaOne

Bukan sahaja menyampaikan lagu duet tetapi SonaOne juga bakal menghangatkan konsert itu dengan lagu-lagu popularnya.

Sementara itu, nama Afgan mula meledak dalam industri muzik pada tahun 2008 menerusi lagu popular, Terima Kasih Cinta.

Selepas itu peminatnya semakin bertambah sehingga ke peringkat serantau iaitu Brunei, Singapura dan Malaysia.

Afgan telah memenangi sebanyak 44 anugerah di Indonesia dan peringkat antarabangsa sepanjang kerjayanya.

Beliau juga pernah dicalonkan dalam Anugerah Industri Muzik di negara ini.

Sebagai artis serba boleh, Afgan turut ‘terjun’ dalam dunia lakonan serta mencuba nasib dalam bidang pengarahan.

Bakatnya diiktiraf apabila dia ditawarkan untuk duduk di kerusi panel juri menerusi program X Factor Indonesia.

Dalam pada itu, tiket konsert dijual pada harga RM485 (VVIP), RM385 (VIP) dan RM285 (CAT1). Semua kategori tiket adalah tempat duduk bernombor.

Harga termasuk enam peratus cukai barang dan perkhidmatan (GST) kecuali yuran pemprosesan yang dikenakan pada harga RM4.

Tiket-tiket boleh didapati menerusi online iaitu www.ticketcharge.com.my atau talian hotline +603-922 28811.

Peminat Afgan juga boleh dapat membeli tiket di kedai terpilih iaitu Speedy video, Victoria Music, 2 Rock Corner, Chambers Music, PJ Live Arts, kaunter maklumat di The Mines shopping mall atau 1 Shamelin, Eden Ultimate (Kuantan) dan juga Blonde Brunette (Penang).

Tiket mula dijual semalam dengan tawaran eksklusif peluang bergambar bersama Afgan untuk 600 pemenang serta 50 pas sesi ramah mesra akan diberikan kepada pemegang tiket VVIP iaitu RM485.

Peminat yang membeli tiket berharga RM385 (VIP) berpeluang untuk memenangi hadiah poster yang ditandatangani Afgan.

Bagaimanapun, ia adalah terhad kepada 350 orang sahaja.

Untuk maklumat terkini bolehlah mengikuti akaun media social IME Asia Facebook, @IME_Asia (Instagram), @IMEProduction(Twitter) atau @IMEProductions untuk WeChat. – MalaysiaGazette