Orang ramai membaca surah Yasin ketika hadir menziarahi jenazah Allahyarham Seniman Tan Sri Jins Shamsuddin di Kampung Pasir Hulu Kelang, Selangor. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 01 MAC 2017.

KUALA LUMPUR – Walaupun akur kuasa tuhan namun rasa bersalah sedikit sebanyak menghantui isteri seniman Allahyarham Tan Sri Jins Shamsudin.

Ia gara-gara cekodok pisang yang dibelinya menjadi juadah terakhir arwah suaminya hari ini.

Puan Sri Halijah berkata, suaminya tercekik kuih itu ketika suapan keempat sebelum sesak nafas secara tiba-tiba semasa menikmati juadah minum petang di kediamannya di Hulu Klang dekat sini petang tadi.

Beliau yang berada di sisi arwah sempat menepuk bahagian belakang suamnya beberapa kali dalam usaha mengeluarkan kuih tersebut.

“Arwah sangat suka cekodok pisang sejak dulu lagi. Entah kenapa hari ini saya tergerak hati untuk membelinya. Ketika suapan yang keempat, arwah terdiam. Saya dapat agak, arwah mungkin tercekik.

“Saya menepuk belakang, tetapi arwah tidak mahu buka mulut. Saya panggil jiran untuk membantu untuk keluar cekodok daripada mulutnya tetapi ada lagi lebihan.

“Saya korek mulutnya dan memberi air, beliau muntah dan terus lembik. Saya pangku tetapi dia tidak memberi tindak balas.

“Saya dan jiran terus menghantarnya ke klinik. Beliau tidak sedarkan diri walaupun saya panggil berkali-kali. Beliau tidak lagi membuka mata dan tangannya sejuk seperti air batu. Saya percaya ketika itu, arwah sudah tiada.

“Apabila tiba ke klinik, empat kali pemeriksaan dilakukan akhirnya arwah disahkan sudah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Pasir di sini malam tadi.

Isteri Allahayarham Tan Sri Jins Shamsuddin, Puan Sri Halijah Abdullah di sisi jenazah suaminya di Kampung Pasir Hulu Kelang, Selangor. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 01 MAC 2017.
Isteri Allahayarham Tan Sri Jins Shamsuddin, Puan Sri Halijah Abdullah di sisi jenazah suaminya di Kampung Pasir Hulu Kelang, Selangor. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 01 MAC 2017.

Halijah turut memberitahu, allahyarham yang berusia 81 tahun lebih gemar banyak mendiamkan diri sepanjang hari ini.

“Biasanya dari pukul 2.30 petang arwah tidak henti-henti bercakap sehingga beliau tidur pada waktu malam. Mungkin itu (pendiam) petanda beliau akan meninggalkan kami,” katanya sebak.

Menurutnya, allahyarham memang sudah tidak mengenalinya dan anak-anak, Putera Hang Jebat dan Putera Hang Nadim sejak dua tahun lalu kerana penyakit tua.

Sementara itu, jenazah Jins akan dibawa ke Masjid Al-Ridhuan, Hulu Kelang dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Ridhuan pada pukul 10 pagi. – MalaysiaGazette