Orang ramai mengaminkan doa selepas pengebumian Allahyarham Tan Sri Jins Samsuddin di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Tidhuan, Hulu Kelang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 2 MAC 2017.

KUALA LUMPUR – Jenazah seniman legenda, Tan Sri Jins Shamsudin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Tidhuan di sini pukul 10.30 pagi tadi.

Sebelum itu, jenazah tiba di Masjid Al-Ridhuan pukul 10 pagi.

Antara rakan artis dan orang ramai yang hadir Datuk Ahmad Nawab, Datuk Rahim Razali, Datuk M. Nasir, Datuk Yusof Haslam, Othman Hafsham, Noorkumalasari, Norman Hakim, Zul Ariffin, Datuk DJ Dave, A Galak dan Datin Paduka Shuhaimi Baba.

Turut hadir, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nancy Shukri dan Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Datuk Fauzi Ayob.

Allahyarham Jins atau nama sebenarnya, Mohamed Zain Shamsudin menghembuskan nafas terakhir dalam perjalanan ke klinik selepas sesak nafas di kediamannyanya di Ulu Klang, kira-kira jam 5.45 petang semalam.

Isteri, Puan Sri Halijah Abdullah (tengah) turut mengaminkan doa semasa pengebumian suaminya, Allahyarham Tan Sri Jins Samsuddin di Masjid Al-Ridhuan, Hulu Kelang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 02 MAC 2017
Isteri, Puan Sri Halijah Abdullah (tengah) turut mengaminkan doa semasa pengebumian suaminya, Allahyarham Tan Sri Jins Samsuddin di Masjid Al-Ridhuan, Hulu Kelang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 02 MAC 2017

Jins yang merupakan anak kelahiran Taiping, Perak memulakan kariernya apabila menjalani uji bakat yang diadakan oleh allahyarham Tan Sri P. Ramlee sebagai pelakon tambahan.

Dari situ, beliau menimba pengetahuan dari P. Ramlee yang dianggap gurunya dan melibatkan diri dalam lebih kurang 40 filem hitam putih.

Beliau menjadi lebih terkenal selepas diberi peranan sebagai pelakon utama dalam filem arahan P. Ramlee, Pancha Delima dan sebagai ejen perisik Jefri Zain dalam siri filem Hong Kong ala filem Hollywood, James Bond.

Jins meneruskan kariernya selepas menjadi pelakon serta pengarah untuk filem pertama dan kedua arahannya, Bukan Salah Ibu Mengandong dan Di Belakang Tabir.

Di dalam kedua-dua filem tersebut, P. Ramlee dijemput sebagai pelakon tambahan.

P. Ramlee amat sukar untuk menerima tawaran belakon daripada pengarah-pengarah yang lain.

Namun sebagai tanda penghormatan, beliau sudi berlakon di bawah arahan muridnya itu.

Ahmad Nawab (kiri) turut hadir pada pengebumian Allahyarham Tan Sri Jins Samsuddin di Masjid Al-Ridhuan, Hulu Kelang Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 02 MAC 2017
Datuk Ahmad Nawab (kiri) turut hadir pada pengebumian Allahyarham Tan Sri Jins Samsuddin di Masjid Al-Ridhuan, Hulu Kelang Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 02 MAC 2017

Pada tahun 1972, Jins melanjutkan pengajian dalam bidang perfileman di London Film School dan menerima Diploma in Motion Picture Technology dengan Kepujian Kelas Pertama.

Pada tahun 1999, beliau menerima Ijazah Kehormat Sarjana Persuratan daripada Universiti Sains Malaysia.

Pada 24 Mac 2010, Jins Shamsuddin menerima Ijazah doktor falsafah (PhD) daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) sempena konvokesyen ke-23 universiti tersebut.

Arwah mengalami lupa ingatan akibat alzhamer sejak tahun 2011.

Allahyarham meninggalkan isteri, Puan Sri Halijah Abdullah, 56, dan tiga orang anak iaitu Jefri Jins, Putera Hang Jebat dan Putera Hang Nadim.

Jefri merupakan anak hasil perkahwinan pertama dengan seniwati Rahmah Rahmat.

Jenazah Allahyarham Tan Sri Jins Samsuddin disembahyangkan anaknya dan orang ramai di Masjid Al-Ridhuan, Hulu Kelang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 02 MAC 2017
Jenazah Allahyarham Tan Sri Jins Samsuddin disembahyangkan anaknya dan orang ramai di Masjid Al-Ridhuan, Hulu Kelang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 02 MAC 2017

Pastinya, Jins akan dikenang dalam sejarah perfileman negara kerana merupakan anak seni pertama yang dilantik sebagai Senator di Dewan Negara selama dua penggal.

Pelantikan seniman itu bermula 2004 hingga 2011 itu merupakan bukti pengiktirafan kerajaan terhadap penggiat seni tanah air.

Malah filem-filem arahannya seperti Ali Setan, Bukit Kepong, Menanti Hari Esok, Esok Untuk Siapa dan Tiada Esok Bagimu masih malar segar hingga ke hari ini.

Jins juga antara pencetus idea penubuhan FINAS. – MalaysiaGazette

Isteri, Puan Sri Halijah Abdullah (tengah) menyiram air mawar dipusara suaminya, Allahyarham Tan Sri Jins Samsuddin selepas selamat dikebumikan di Masjid Al-Ridhuan, Hulu Kelang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 02 MAC 2017
Isteri, Puan Sri Halijah Abdullah (tengah) menyiram air mawar dipusara suaminya, Allahyarham Tan Sri Jins Samsuddin selepas selamat dikebumikan di Masjid Al-Ridhuan, Hulu Kelang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 02 MAC 2017