Datuk Asfar Ali

KUALA LUMPUR – Kenaikan berterusan harga diesel menyebabkan pengusaha bas ekspres di Semenanjung kini semakin tenat.

Lantaran itu, Persatuan Pengusaha-Pengusaha Bas Malaysia (PMBOA) berharap kerajaan segera mempertimbangkan kenaikan kadar tambang bas ekspres dengan segera.

Presiden Persatuan Pengusaha-Pengusaha Bas Malaysia (PMBOA) Datuk Asfar Ali berkata, kenaikan harga diesel, kos penyelenggaraan alat ganti dan tayar bas yang mahal menyebabkan pengusaha bas ekspres kini hidup bagai dihujung nyawa.

Menurut beliau, pihaknya telah mengadakan bengkel bersama Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pada Februari lalu dan membentangkan realiti yang dihadapi pihaknya.

“Kami bentang dengan SPAD dalam bengkel yang lepas dan SPAD akan kemukakan segala cadangan itu kepada kerajaan akhir Mac ini.

“Diharapkan apabila pembentangan itu dirujuk kepada Jemaah Menteri nanti, segala tuntutan PMBOA termasuk menaikkan kadar tambang dapat diluluskan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Asfar berkata, kali terakhir kada tambang bas ekpres dinaikkan kerajaan pada tahun 2008.

“Kami perlu membayar GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) dan caj tol yang juga ditanggung bas ekpres, kos operasi semakin tinggi dan sukar. Ini tidak termasuk sewa terminal yang tinggi.

“Kami juga perlu membayar gaji pemandu dan kakitangan syarikat bas ekpres. Kos-kos ini menyebabkan pengurusan kewangan syarikat bas ekspres terjejas.

“Jika kerajaan boleh melaksanakan semula peraturan penetapan harga tiket bas ekpress, ia memudahkan kami untuk menentukan harga tiket mengikut masa tertentu seperti yang dilaksanakan dalam penerbangan udara,” ujarnya.

Jelas Asfar, kaedah itu memberi fleksibiliti kepada penumpang untuk menentukan waktu perjalanan dan pada masa  sama memudahkan pelaksanaan gaji minimum dalam kalangan pekerja dalam syarikat bas ekspres.

Selain itu, Asfar menambah, pihaknya juga merancang untuk menyediakan kemudahan jalur lebar, tempat duduk yang lebih selesa dan bas baharu lebih moden untuk keselesaan penumpang.

“Bas ekspres bukan digunakan setiap hari, hanya digunakan untuk waktu dan hari tertentu sahaja. Jadi, apakah masalahnya untuk kerajaan membenarkan kadar tambang tiket bas ekspres dinaikkan.

“PMBOA kali ini mengharapkan kerajaan memberi ‘lampu hijau’ demi survival pengendali-pengendali bas ekspres,” katanya.. – MalaysiaGazette