Jamal Md. Yunos

KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos
menyerahkan kepada budi bicara Majlis Tertinggi (MT) parti untuk menentukan kedudukannya selepas beliau menyerahkan surat peletakan jawatan pada 8 Februari lalu.

Katanya, walaupun Badan Perhubungan UMNO Selangor menolak hasratnya meletak jawatan dan beberapa ahli MT UMNO juga turut menasihatkannya menarik balik, beliau tetap akur dengan sebarang keputusan yang bakal ditentukan tidak lama lagi.

“Tadi saya jumpa dengan beberapa ahli MT, mereka menasihatkan saya menarik balik peletakan jawatan itu.

“Saya kata, saya serahkan kepada pihak MT dan menerima apa juga keputusan. Inilah perjuangan saya.

“Kalau saya nak cari kekayaan dan keuntungan, saya tidak akan masuk politik, sebab saya dari awal lagi sudah bergelar usahawan,” katanya dalam temubual eksklusif dengan MalaysiaGazette di sini baru-baru ini.

Jamal yang juga Pengerusi Gabungan NGO Malaysia membuat keputusan meletakkan semua jawatan dalam parti kerana tidak mahu imej UMNO tercemar dengan penahanannya atas kesalahan menyerbu pusat judi pada 29 Disember tahun lalu.

Berikutan itu, katanya, beliau ditangkap polis di kediamannya di Ampang pada 2 Februari lalu dan dituduh mengikut Seksyen 395 iaitu samun berkumpulan.

“Ketika saya ditangkap, saya sempat melihat berita televisyen yang mengulangi saya bersama sembilan yang lain ditangkap di bawah seksyen 395 iaitu samun berkumpulan.

“Dakwaan ke atas saya ini sedikit sebanyak telah meletakkan keresahan dalam jiwa saya, di mana ketika itu saya memikirkan adakah dengan penahanan saya ini memberikan imej yang buruk kepada UMNO terutama ahli-ahli parti di Sungai Besar.

“Selepas dibebaskan dengan ikat jamin selepas lima hari lima malam dalam lokap, saya menimbang dan memikirkan demi untuk kebaikan parti, saya umumkan peletakan jawatan saya sebagai Ketua UMNO Bahagian,” katanya.

Katanya, beliau berbuat demikian kerana terlalu sayangkan UMNO dan tidak mahu parti terpalit dengan namanya yang disiasat di bawah Seksyen 395.

Menurut Jamal lagi, setelah menghantar surat peletakan jawatan kepada Badan Perhubungan UMNO Selangor, dan setelah kepimpinan negeri berbincang, mereka melihat apa yang dilakukannya adalah untuk menegakkan kebenaran.

“Dengan itu, Tan Sri Noh Omar mengumumkan Perhubungan UMNO Negeri menolak peletakan jawatan itu.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Noh dan akan melakukan yang terbaik untuk parti,” ujarnya.

Kata Jamal, beliau melibatkan diri dalam parti bukan untuk suka-suka atau mencari publisiti, tetapi disebabkan hendak menegakkan kebenaran.

“Sudah pasti dalam hendak menegakkan perjuangan itu kita ada melanggar peraturan dan undang-undang. Jadi, saya bersedia menerima akibat daripada apa yang saya lakukan.

“Bagi saya, yang penting apa yang saya lakukan itu, hasilnya telah dapat dinikmati oleh masyarakat. Kalau bukan hari ini, mereka (dapat nikmatinya) pada masa akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette