KUALA LUMPUR – Suasana muram menyelubungi upacara memperingati MH370 yang diadakan buat kali ketiga, anjuran Voice370, sebuah kumpulan sokongan bagi penerbangan berkenaan.

Menurut isteri penyelia penerbangan MH370 Patrick Gomes, di sebalik cuaca yang mendung, hari ini merupakan hari untuk memperingati suami beliau.

“Kami masih berharap. Sudah tentulah kesedihan datang bersama 8 Mac. Namun begitu, saya tetap mahu memperingati suami saya, sebab dia ada empat anak yang mengagumkan dan saya percaya dia menjalani kehidupan yang baik,” kata Jacquita Gonzales kepada Bernama selepas majlis itu.

Ditanya pandangan beliau tentang operasi pencarian pesawat itu yang kini digantung, Gonzales berkata beliau berasa geram apabila mendengar berita itu.

“Sudah tentu kami kecewa apabila kita mendengar tentang penggantungan itu, tetapi ia tidak dapat dielakkan. Bagaimanapun, mereka (kerajaan) mengatakan jika memperoleh bukti yang lebih berwibawa, mereka akan menyambung semula pencarian.

“Saya berdoa mudah-mudahan terdapat penemuan baharu dan mereka akan meneruskan semula pencarian,” katanya.

Pada 17 Jan lepas, dilaporkan bahawa pencarian MH370 di dasar laut telah digantung, menurut satu kenyataan dari Malaysia, Australia dan China.

Berdasarkan kenyataan itu, kapal terakhir bagi operasi itu telahpun meninggalkan kawasan pencarian seluas 120,000 meter persegi di selatan Lautan Hindi.

Sementara itu, anak bongsu pramugara kanan MH370, Wan Swaid Wan Ismail, dia hanya mahu bapanya pulang ke rumah.

“Saya amat merindui ayah dan saya mahu dia pulang ke rumah untuk bersama dengan kami,” kata Wan Afrina Sofea Wan Swaid.

Gadis berusia 11 tahun itu berkata dia dan dua abangnya berserta ibu mereka reda dengan ketentuan takdir, namun masih berharap agar penantian ini akan berakhir dan kebenaran akan ditemui.

Kira-kira 100 anggota keluarga mangsa MH370 dan orang ramai memenuhi ruang terbuka sebuah pusat beli-belah terkemuka di sini hari ini untuk menghadiri upacara itu.

Hadir sama pada majlis bertemakan ‘Search On 3.0: MH370 Is Not History. It’s The Future. Fly Safely’ itu ialah Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman.

Pada majlis itu, turut diadakan pameran seni oleh 20 artis Malaysia yang memaparkan interpretasi mereka terhadap pengalaman yang dilalui waris mangsa.

Pada 8 Mac 2014, pesawat MH370 hilang semasa dalam penerbangan merentasi Laut China Selatan kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 pagi.

Pesawat Boeing 777-200ER yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal itu dijadual mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.

— BERNAMA