Najib Tun Razak

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mencari jalan penyelesaian terbaik berhubung isu semasa yang melibatkan Malaysia dan Korea Utara.

Itulah antara inti pati yang dibincangkan Datuk Seri Najib Tun Razak yang mempengerusikan mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Negara (MKN) di pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Subang, dekat sini, malam ini.

Perdana Menteri bagaimanapun, tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi setakat ini mengenai hasil perbincangan dalam mesyuarat itu.

Mesyuarat itu dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak; Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Turut hadir, Ketua Pengarah MKN, Tan Sri Zulkifeli Mohd Zain; Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa.

Peguam Negara, Tan Sri Mohamad Apandi Ali; Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Ramlan Ibrahim; dan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun turut bersama dalam mesyuarat tergempar.

Terdahulu, Najib dalam kenyataannya hari ini, mengarahkan MKN mengadakan mesyuarat tergempar berhubung tindakan Pyongyang mengenakan larangan sementara ke atas pegawai dan kakitangan kedutaan Malaysia di negara itu.

Beliau juga telah mengarahkan Khalid supaya menghalang semua rakyat Korea Utara yang berada di Malaysia daripada meninggalkan negara ini.

Malaysia sebelum ini mengambil tindakan mengusir Duta Korea Utara, Kang Chol dan duta berkenaan meninggalkan negara ini semalam.

Kang Chol dilaporkan membuat tuduhan melulu dan tidak berasas terhadap Kuala Lumpur berhubung siasatan kes pembunuhan warga Korea Utara Kim Chol, yang dilaporkan secara meluas sebagai Kim Jong-nam, pada 13 Februari lalu.

Sabtu lalu, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman mengisytiharkan Kang Chol sebagai ‘Persona Non Grata’ dan diberi tempoh 48 jam untuk meninggalkan Malaysia. – MalaysiaGazette