Nuridah Mohd Salleh

KUALA LUMPUR – Dewan Muslimat Pas Malaysia (DMPM) kesal dengan tindakan peguam, Siti Kasim dan Pertubuhan Hindu (HINDRAF) mengeluarkan saman terhadap kerajaan kerana dikatakan melindungi pendakwah Dr. Zakir Naik.

Ketuanya, Nuridah Mohd Salleh berkata, bagi pihaknya, tindakan itu tidak sepatutnya berlaku, memandangkan negara ini mengamalkan budaya hormat menghormati dan bersikap toleransi atas setiap perkara.

Jelas beliau, mana mungkin majlis ilmu dihalang oleh orang Islam sendiri, sedangkan masih banyak program lain lebih berunsur negatif dan tidak sepatutnya diadakan di Malaysia selaku negara Islam yang perlu dihalang.

“Isu halangan ke atas penganjuran majlis ilmu bersama Dr. Zakir kecoh selepas pihak yang tidak berpuas hati mengambil tindakan undang-undang ke atas kerajaan Malaysia.

“Kami dari Dewan Muslimat Pas Malaysia kesal dengan apa yang berlaku. Hal ini tidak sepatutnya timbul dan solusi terbaik untuk mengatasi hal ini bukanlah melalui emosi yang membuta tuli.

“Pendekatan berhemah dengan bersemuka adalah lebih baik dan harmoni kerana Islam mengajar kita menggunakan pendekatan terbaik dalam menyelesaikan masalah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Nuridah, setakat ini pihaknya tidak mendengar sebarang kekecohan semasa program bersama Dr. Zakir.

Bahkan ujarnya, program bersama pendakwah itu sentiasa mendapat sambutan meriah dan memuaskan hati peserta.

“Oleh itu, sesiapa pun tidak perlu merasa tidak senang selagi program bersama Dr. Zakir dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya. – MalaysiaGazette