Lima tertuduh mengaku tidak bersalah

KUALA LUMPUR – Empat rakyat Pakistan dan seorang warga tempatan yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah dituduh di Mahkamah Sesyen Miri, Sarawak hari ini, atas dakwaan memberi rasuah kepada pegawai Imigresen melibatkan keseluruhan wang berjumlah RM1,600.

Semua tertuduh yang berusia antara 25 hingga 55 tahun itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Nixon Kennedy Kumbong.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24, akta sama, iaitu dipenjara tidak lebih 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi.

Berdasarkan pertuduhan, semua mereka didakwa melakukan kesalahan tersebut dalam lima kejadian berasingan di sekitar Miri antara November 2015 dan April 2016.

Tertuduh didakwa memberi suapan bernilai antara RM100 hingga RM500 kepada pegawai Imigresen sebagai dorongan agar pihak berkuasa tidak mengenakan tindakan ke atas diri mereka, anak dan pekerja mereka yang melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Prosiding bagi kes ini dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Katherine Nais, Ikhwan Mohd Ibrahim dan Jamal Ayub.

Hakim juga menetapkan 30 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula. – MalaysiaGazette