Najib Razak.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengecam sekeras-kerasnya keputusan Korea Utara yang menghalang rakyat Malaysia meninggalkan negara itu.

Najib berkata, tindakan Pyongyang menahan rakyat Malaysia sebagai tebusan merupakan satu penghinaan dan tidak mematuhi semua undang-undang antarabangsa dan norma diplomatik.

Katanya,sebagai sebuah negara yang cintakan keamanan, Malaysia komited untuk mengekalkan hubungan baik dengan semua negara.

“Bagaimanapun, melindungi rakyat kita adalah keutamaan saya dan kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil segala langkah yang perlu apabila mereka terancam.

“Saya telah memanggil mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Negara berhubung perkara itu,” katanya dalam satu kenyataan segera yang dikeluarkan sebentar tadi.

Najib juga telah mengarahkan Ketua Polis Negara menghalang semua rakyat Korea Utara di Malaysia ke luar negara sehingga diberi jaminan keselamatan semua rakyat Malaysia di Korea Utara.

“Harapan kami adalah untuk penyelesaian yang pantas. Saya menyeru kepimpinan Korea Utara untuk segera membenarkan rakyat kita untuk meninggalkan negara itu untuk mengelakkan perkara itu berlanjutan,” katanya.-MalaysiaGazette