Kedutaan Korea Utara di Damansara, Kuala Lumpur. foto ADIB AIMAN ROSLI

KUALA LUMPUR – Sebarang keputusan membabitkan 170 warga Korea Utara yang berada di Sarawak akan hanya akan dimuktamadkan selepas menerima arahan selanjutnya daripada Putrajaya, kata Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Abang Openg.

Amar Abang Johari yang dipetik berkata, mereka masih menunggu arahan daripada Putrajaya susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini menghalang pegawai dan kakitangan kedutaan Korea Utara daripada meninggalkan Malaysia susulan keputusan sama dibuat oleh negara komunis itu pagi tadi.

“Kami sedang berhubung dengan Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Luar mengenai langkah selanjutnya terhadap warga Korea Utara disini,” kata beliau dipetik berkata dalam laman portal.

Rakyat Korea Utara kebanyakkannya bekerja di lombong arang batu di Selantek, Sri Aman dan juga sebagai konsultan projek hidroelektrik di negeri tersebut.

Terdahulu, Najib dalam satu kenyataan mengecam sekeras-kerasnya keputusan Korea Utara yang menghalang rakyat Malaysia meninggalkan negara itu.

Najib berkata, tindakan Pyongyang menahan rakyat Malaysia sebagai tebusan merupakan satu penghinaan dan tidak mematuhi semua undang-undang antarabangsa dan norma diplomatik.

Awal hari ini, kerajaan Korea Utara tidak membenarkan 11 rakyat Malaysia terdiri daripada kakitangan kedutaan dari meninggalkan negara itu semasa berada di lapangan terbang.

Najib juga telah mengarahkan Ketua Polis Negara menghalang semua rakyat Korea Utara di Malaysia ke luar negara sehingga diberi jaminan keselamatan semua rakyat Malaysia di Korea Utara. – MalaysiaGazette