Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Hilmi Yahaya (dua kiri) bersama Presiden MOFAZ, Mohamed Fauzy Abdul Hamed (tiga kanan) menyaksikan Pengerusi Eksekutif Dubaiz Development Berhad, Datuk Seri Rusli Zaman (dua kanan) dan Presiden China Dalian International Economic & Technicial Cooperation Group, Zhu Mingyi (kiri) menukar perjanjian persefahaman di antara Dubaiz Development Berhad dan China Dalian International Economic & Technicial Cooperation Group di Hotel Majestic, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 07 MAC 2017

KUALA LUMPUR – Dubaiz Development Berhad (Dubaiz) dan China Dalian International Economic & Technicial Cooperation Group (CDIG) menandatangan perjanjian persefahaman (MoU) melibatkan pelaburan dalam projek hartanah dan pembangunan hospital.

Pengerusi Eksekutif Dubaiz, Datuk Seri Dr. Rusli Zaman berkata, projek pertama yang akan dibangunkan secara usahasama ini membabitkan pembangunan Hospital Ibu dan Anak di Pasir Mas, Kelantan.

Hospital itu akan menjadi pemangkin dalam projek-projek hartanah bercampur-campur di kawasan tersebut.

Hospital Ibu dan Anak yang pertama seumpamanya di negara ini dijangka menelan kos sebanyak RM700 juta.

Manakala projek-projek pembinaan perumahan akan dibina secara berperingkat-peringkat.

“Kita merancang untuk membina Hospital Ibu dan Anak ini di sebuah lokasi baharu, yang akan dikelilingi dengan projek perumahan rakyat.

“Dubaiz dan CDIG juga sedang mengintai peluang untuk memajukan projek rumah mampu milik di Kuantan, Terengganu dan Kelantan,” katanya ketika ditemui selepas majlis menandatangani MoU di sini.

Rusli menjelaskan, projek-projek yang dikendalikan bersama melibatkan projek-projek pembiayaan tertangguh, yang mana projek dilaksanakan terlebih dahulu dan kemudiannya dibayar secara beransur-ansur dalam tempoh masa tertentu.

Dubaiz adalah syarikat tempatan manakala CDIG pula merupakan sayap milik kerajaan China yang ditubuhkan pada tahun 1984.

CDIG pakar dalam perniagaan kerjasama ekonomi dan teknikal asing dengan skop perniagaan yang meliputi bidang kontrak projek pembinaan, kerjasama perkhidmatan buruh antarabangsa, pembangunan hartanah, pengangkutan laut, pelagik perikanan, perdagangan antarabangsa, bio-farmasi, akuakultur dan pemprosesan produk akuatik dan lain-lain.

Syarikat itu telah melabur dan menubuhkan syarikat gabungan di 70 buah negara termasuk Singapura, Suriname, Russia, Gabon, Guinea, Sierra Leone, Argentina, Sepanyol, Korea Selatan dan Jepun. – MalaysiaGazette

Comments are closed.