Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berucap pada Majlis Penyerahan Kunci 1Razak Mansion di Sungai Besi, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 15 MAC 2017

KUALA LUMPUR – Penghuni asal Razak Mansion di Jalan Sungai Besi di sini beruntung apabila menerima kediaman baharu atas penstrukturan semula 1Razak Mansion hari ini.

Majlis penyerahan kunci kepada penghuni itu disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Berucap pada majlis itu Najib berkata, projek pembangunan semula Razak Mansion yang dilakukan oleh kerajaan sejak tahun 2014 kerana memahami permasalahan sosial yang dialami oleh rakyat ibu kota terutamanya berkaitan perumahan.

Menurutnya, dengan kawasan tanah yang semakin terhad dan kewangan kerajaan yang digunakan untuk pelbagai projek rakyat, langkah memperbaiki taraf kehidupan penduduk di Kuala Lumpur sangat dititikberat.

“Kawasan ini amat dekat di hati saya dan menyimpan nilai sentimental yang tersendiri. Ini kerana pada 26 April 1967, allahyarham ayahanda saya pernah menjejakkan kaki beliau di sini dan merasmikan kawasan ini 50 tahun dahulu. Saya akan teruskan legasi beliau dengan memastikan kawasan ini terus segar dan sejahtera.

“Ini secara tidak langsung membuktikan keprihatinan kerajaan Persekutuan dalam memastikan bahawa rakyat dapat menjalani kehidupan dalam keadaan lebih selesa, kondusif, selamat dan harmoni,” katanya.

Projek pembangunan membabitkan pembinaan sejumlah 658 unit rumah, 23 buah kedai, 110 lot pasar serta sebuah surau itu mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan – ia dapat disiapkan sembilan bulan lebih awal daripada jangkaan perjanjian jual beli.

Dalam pada itu, Najib berkata, penduduk Razak Mansion akan menerima hak milik strata di atas nama sendiri dengan pajakan selama 99 tahun berbanding unit lama dengan baki pajakan 40 tahun dengan tidak mempunyai strata.

Beliau menjelaskan, menerusi program pembangunan semula itu ia telah dapat menzahirkan persekitaran perumahan yang lebih moden dan selesa.

Katanya, projek yang dilaksanakan itu bukan Projek Perumahan Rakyat (PPR) sebaliknya, ia merupakan gambaran sebuah projek kondominium sederhana.-MalaysiaGazette