KUALA LUMPUR – Keluarga mangsa yang maut dalam nahas membabitkan sebuah Proton Gen-2 yang di pandu melawan arus di Kilometer 134 Lebuh Raya Utara-Selatan, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap pemandu terbabit.

Bapa mangsa, Rosli Lin, 57 berkata, tindakan itu dipersetujui keluarganya selepas mendapati pemandu Proton Gen-2 itu, seorang remaja perempuan Cina berusia 19 tahun, harus bertanggungjawab atas kematian anak sulungnya itu.

“Kami akui apa yang terjadi adalah suratan takdir, namun kematian anak saya perlu pembelaan dan individu yang bertanggungjawab itu perlu mendapat hukuman yang setimpal.

“Kemalangan yang berlaku bukan kemalangan biasa, tetapi ia disengajakan dan kami merasakan anak kami seperti dibunuh dengan sengaja,” katanya lapor sebuah laman portal hari ini.

Rosli juga mahu pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pemandu terbabit supaya ia dapat dijadikan pengajaran.

Katanya, tindakan remaja terbabit yang memandu laju dan melawan arus bukan tindakan yang boleh dimaafkan hingga menyebabkan kematian satu-satunya anak lelakinya.

Dalam kejadian semalam, Mohamad Fandi Rosli yang juga seorang juruteknik di sebuah kilang di Seberang Jaya, maut dalam kemalangan selepas kenderaannya dirempuh sebuah kereta yang dipandu melawan arus.

Mangsa yang menaiki kereta Perodua Kelisa baru sahaja habis bekerja pada jam 7 pagi dan memandu menghala ke arah utara untuk pulang ke rumah keluarganya, Sungai Petani.-MalaysiaGazette