Takiyuddin Hassan

PUTRAJAYA – “Kenapa sekarang DAP bertindak membantah pindaan Rang Undang-undang Persendirian Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)  (Akta 355) (pindaan 2016) sedangkan pemimpin veteran parti itu pernah menyokong pindaan seumpama itu pada tahun 1984”, soal Pas.

Menurut Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan perkara sama pernah dibawa pada tahun itu dan disokong oleh Ahli Parlimen bukan Islam ketika itu yang membolehkan RUU (Rang Undang-undang) 355 dipinda.

“Kalau kita tengok pada tahun 1984 masa itu pindaan dibuat terhadap Akta 355 tidak ada bangkangan termasuk Lim Kit Siang tidak bantah.

“Kalau tengok dalam rekod Parlimen apabila diluluskan di Dewan Rakyat pindaan Akta 355 dibawa ke Dewan Negara dibentangkan oleh Datuk Radzi Samad pada masa itu dan disokong oleh Datuk James Ongkili, Ahli Parlimen Tuaran Sabah, itu yang menyokong di Dewan Negara.

“Saya tidak nampak kalau ada Ahli Parlimen Islam sekarang ini yang tidak menyokong pindaan Akta 355 ini, sama ada di mana-mana parti sekalipun dipihak kerajaan ataupun parti pembangkang,” katanya dalam satu majlis semalam.

Ujarnya lagi tidak timbul penolakan daripada Ahli Parlimen yang beragama Islam kerana ia bertujuan untuk memperkasakan Mahkamah Syariah yang sudah lama tidak dinaiktarafkan.

Malah katanya, pindaan itu tidak langsung termaktub kepada masyarakat bukan Islam dan mereka tidak perlu risau akan pindaan berkenaan.

“Kita bawa pindaan Akta 355 ini adalah satu tanggungjawab Ahli Parlimen Islam untuk memperkasakan Mahkamah Syariah, jadi saya tidak nampak apa alasan untuk Ahli Parlimen Islam tidak menyokong pindaan ini.

“Kalau ada Ahli Parlimen yang tidak mahu sokong yang jelasnya mereka yang tidak menyokong pindaan ini perlu bagi penjelasan kepada rakyat terutamanya umat Islam di Malaysia,” tambah Takiyuddin.

Sebelum ini ramai pihak yang sangsi dengan pindaan berkenaan sehinggakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terpaksa masuk campur dengan menegaskan bahawa RUU berkenaan bukannya hudud dan hanya melibatkan umat Islam.

RUU 355 yang dibawa oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Parlimen pada 24 November tahun lepas bertujuan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 bagi memperkasa mahkamah syariah dalam melaksanakan hukuman jenayah. -MalaysiaGazette