Seorang wartawan berdiri berhampiran papan tanda Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 05 MAC 2017

KUALA LUMPUR – Kerajaan pimpinan Kim Jong-un di Pyongyang mungkin mengakui terlibat dalam kes kematian abang kepada pemimpin tertinggi Korea Utara itu untuk mengakhiri kemelut diplomatik Kuala Lumpur-Pyongyang yang mencuri perhatian dunia.

Kerajaan Pyongyang bagaimanapun berkemungkinan menolak kematian Kim Jong-nam kepada individu tertentu dengan mendakwanya sebagai tindakan perseorangan yang tidak direstui pemerintah Korea Utara.

Langkah tersebut merupakan antara tindakan yang akan dipertimbangkan Pyongyang selepas kerajaan Komunis itu menerima tekanan daripada pelbagai pihak.

“Mereka mungkin akan menyatakan dalang kes pembunuhan telah menerima hukuman sewajarnya,” kata penganalisis antarabangsa, Andrei Chang yang mempunyai kepakaran dalam bidang perisikan.

Penganalisis itu memberitahu China Press, ‘perintah berkurung’ Pyongyang ke atas warga Malaysia adalah bertitik tolak daripada kebimbangan ke atas dua suspek warga Korea Utara iaitu Hyon Kwang Song dan Kim Uk-il yang dikehendaki polis Malaysia.

Pyongyang, menurut Andrei, bimbang dua suspek yang dipercayai bersembunyi di Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur itu akan diberkas oleh pihak berkuasa Malaysia.

“Dengan mengurungkan rakyat Malaysia di Korea Utara, maka Kuala Lumpur juga akan was-was untuk mengambil tindakan ke atas warga Korea Utara di Malaysia,” katanya.

Malaysia dilihat mengambil pendekatan lebih lembut selepas berkeras dengan Korea Utara dalam isu kematian Kim Jong-nam, lelaki Korea Utara yang didakwa sebagai Kim Chol oleh kerajaan Pyongyang.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman pada Sabtu menyatakan kemungkinan menyerahkan jasad yang mencetuskan kontroversi kepada Pyongyang selepas identiti mangsa disahkan polis sebagai Kim Jong-nam.

Menurut akhbar berbahasa Inggeris, pihak Malaysia mengenal pasti mangsa warga Korea Utara yang dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai Kim Jong-nam berdasarkan 21 tahi lalat yang ada pada mukanya.

Hubungan Malaysia dengan Korea Utara menjunam selepas Pyongyang mengenakan ‘perintah berkurung’ ke atas rakyat Malaysia di negara Asia Timur itu. – MalaysiaGazette