Tiga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada DAP Melaka bertindak keluar parti hari ini. Mereka ialah (dari kiri) ADUN Bachang Lim Jak Wong, Anggota Parlimen Kota Melaka Sim Tong Him, ADUN Duyong Goh Leong San dan ADUN Kesidang Chin Choong Seong.

MELAKA – DAP Melaka terus bergolak dengan 182 ahli memilih untuk meninggalkan parti pembangkang itu dalam perkembangan yang dilihat sebagai kejadian keluar parti paling besar yang pernah menimpa parti pembangkang itu.

Walaupun China Press mengaitkan keputusan 182 orang itu dengan kenyataan pemangku Pengerusi DAP, Tan Kok Wai berkenaan “tumor parti” yang mencetuskan tidak puas hati, tetapi pemimpin pusat DAP seakan-akan tidak memberi perhatian lebih kepada apa yang berlaku di Melaka.

Kok Wai sebelum ini mengibaratkan empat wakil rakyat yang meninggalkan parti iaitu Sim Tong Him (Ahli Parlimen Kota Melaka) dan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lain iaitu Goh Leong San (Duyong), Lim Jak Wong (Bachang) dan Chin Choon Seong (Kesidang) sebagai tumor dalam parti.

Kenyataan itu mencetuskan pertikaian dengan ada yang melihat tindakan keluar parti empat wakil rakyat yang juga veteran DAP Melaka adalah berikutan pertikaian dengan pemimpin yang pro-DAP pusat.

Mengulas tentang 182 ahli yang mengikut jejak langkah empat wakil rakyat tersebut, Setiausaha Organisasi DAP, Loke Siew Fook berkata, “ia satu taktik yang sudah dijangkakan.

Ahli Parlimen Seremban itu juga percaya ahli yang keluar parti adalah tidak aktif dan terdiri daripada anggota cawangan-cawangan  yang berada di bawah pengaruh Tong Him dan tiga wakil rakyat yang lain.

Katanya lagi, cawangan-cawangan itu sudah tidak aktif sejak setahun dua kebelakangan.

Walaupun tidak menafikan ia mungkin kejadian keluar parti paling besar yang pernah menimpa DAP,  Siew Fook bagaimanapun menegaskan cawangan-cawangan DAP di Melaka tidak dibubarkan.

“DAP akan merekrut lebih ramai ahli parti dan menyusun cawangan berkaitan untuk menghadapi pilihan raya,” katanya.

Pemimpin DAP pusat dilihat berkunjung ke Melaka selepas empat wakil rakyat negeri itu meninggalkan parti pada bulan lalu, petanda yang ditafsirkan sebagai percubaan untuk menenangkan keadaan.

Ditanya sama ada pemimpin DAP akan melawat Melaka ekoran perkembangan terkini di negeri itu, Siew Fook berkata, “tidak timbul keperluan sedemikian.

Mereka yang meninggalkan parti pada Ahad berpendapat DAP telah lari daripada perjuangan asal termasuk dalam “Malaysian Malaysia” yang sinonim dengan parti tersebut.

DAP juga didakwa sanggup menggadai maruah dan perasaan kaum Cina semata-mata mahu merai undi dalam pilihan raya. – MalaysiaGazette