Khalid Abu Bakar

PUTRAJAYA – Polis Antarabangsa (Interpol) telah mengeluarkan notis merah (yang membenarkan penahanan) terhadap empat suspek yang terlibat dengan kes pembunuhan Kim Jong Nam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, keempat-empat suspek terbabit kini bersembunyi di Korea Utara.

“Saya ingin memberitahu bahawa kami telah mendapat notis merah daripada Interpol untuk menjejaki empat warga Korea Utara yang berada di lapangan terbang (klia2) pada hari kejadian.

“Kami mengharapkan kerjasama daripada Interpol untuk menangkap mereka yang dikehendaki,” katanya ketika ditemui pada majlis penutup Persidangan Antarabangsa mengenai Rohingya di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Khalid berkata, polis memberikan sepenuhnya urusan pengendalian mayat lelaki warga Korea terbabit kepada Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Apa yang saya akan kongsikan hari ini kita telah menyelesaikan siasatan ke atas badan mangsa seperti yang pernah saya kata sebelum ini,” ujarnya.

Polis sekarang ini memburu empat lagi suspek dalam kes pembunuhan Kim Jong-nam yang juga abang tiri pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un.

Semua suspek lelaki itu bagimanapun sudah meninggalkan Malaysia pada hari Jong-nam mati pada 13 Februari lalu.

Empat suspek terbabit dikenali sebagai Ri Ji-hyon, Hong Song-hac, O Jong-gil Ri Jae-nam. Kesemua mereka adalah warga Korea Utara. – MalaysiaGazette