Kad OKU

KUALA LUMPUR – Remaja perempuan yang memandu melawan arus hingga menyebabkan kematian seorang juruteknik, dilaporkan memiliki kad Orang Kelainan Upaya (OKU) yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Kad OKU milik remaja berusia 19 tahun itu tersebar di laman sosial, dikategorikan sebagai mengalami ‘masalah pembelajaran’.

Pegawai dari JKM Pulau Pinang mengesahkan bahawa kad OKU yang dimiliki remaja itu adalah sah dan dikeluarkan pada tahun 2011, lapor sebuah laman portal.

“Doktor mencadangkan dia menjalani program pendidikan khas apabila berada di tingkatan satu,” kata pegawai berkenaan.

China Press turut melaporkan perkara sama dan ia disahkan oleh Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, ACP Nik Ros Azhan Ab. Hamid.

Dilaporkan, seorang mangsa yang cedera dalam insiden itu turut mendakwa ibu remaja berkenaan memaklumkan anaknya mempunyai kad OKU ketika membuat laporan polis pada hari kejadian.

Dalam kejadian kira jam 7.50 pagi kelamrin, seorang juruteknik kilang maut apabila kereta jenis Proton Gen2 dipandu melawan arus dari Sungai Dua menghala Butterworth dan melanggar bahagian hadapan kereta Perodua Kelisa yang dipandu mangsa.

Kereta dipandu remaja itu turut merempuh lima kenderaan lain, termasuk sebuah van kilang dan motosikal.

Ujian air kencing mendapati suspek berada dalam pengaruh alkohol dan dadah sehingga dia bertindak luar jangka. – MalaysiaGazette