Keadaan bertambah misteri apabila beberapa benda yang dipercayai mempunyai kaitan dengan ilmu hitam seperti sapu tangan dengan tulisan azimat, satu patung manusia dan segumpal rambut telah ditemukan dalam kawasan ladang. - Gambar hiasan

SEGAMAT – Sebanyak 30 ekor kambing di sebuah ladang ternakan di Segamat, Johor dibunuh dengan kejam apabila mata mereka dikorek dan leher dipatahkan dengan putaran 180 darjah.

Selain itu, mulut kambing-kambing tersebut juga telah dipecahkan, tetapi dalang di sebalik kejadian mengerikan itu tidak dapat dikenal pasti.

Keadaan bertambah misteri apabila beberapa benda yang dipercayai mempunyai kaitan dengan ilmu hitam seperti sapu tangan dengan tulisan azimat, satu patung manusia dan segumpal rambut telah ditemukan dalam kawasan ladang.

Menurut anak kepada pemilik ladang ternakan yang dikenali sebagai Sakinah, kambing mula mati secara misteri sejak Disember tahun lalu.

Katanya, pada masa itu kematian kambing berlaku hampir setiap hari tetapi ujian darah oleh agensi perkhidmatan veterinar gagal mengenal pasti punca kematiannya.

“Keadaan bertambah teruk pada minggu lalu, sebanyak 30 ekor kambing mati dengan kejam termasuk mata mereka dikorek dan mulut mereka dipecahkan.

“Kematian mereka sangat mengerikan dan kami juga mengalami kerugian kira-kira RM21,000,” katanya kepada China Press.

Menurutnya, pekerja ladang melakukan rondaan pada waktu malam selepas berlaku kematian kambing, tetapi tidak menemukan apa-apa yang mencurigakan semasa meronda.

“Selepas balik dari rondaan, mereka terdengar suara bising kambing. Kambing telah mati apabila mereka bergegas ke kandang.

“Kami tidak tahu apa yang sudah berlaku, sama ada ia dilakukan orang atau benda yang tidak diketahui, katanya.

Menurut Sakinah lagi, ayahnya bercadang menutup ladang ternakan tersebut setelah berlaku kematian misteri kambing.