Debat antara Datuk Seri Nazri Aziz dan Tun Dr Mahathir Mohamad di Kompleks Karangkraf dibatalkan.

IPOH – Debat antara bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz tidak boleh diadakan kerana polis belum menerima sebarang permohonan rasmi untuk mengadakan perdebatan itu.

Pemangku Ketua Polis Perak, Timbalan Komisioner, Datuk Hasnan Hassan berkata, setakat ini tiada siapa yang memohon untuk mengadakan debat tersebut di MRSM Sultan Azlan Shah di Kuala Kangsar pada 25 Mac ini.

“Perdebatan tanpa kebenaran polis adalah satu kesalahan di bawah Akta Perhimpunan Haram.

“Jika perdebatan itu akan diadakan, pihak polis boleh mengambil tindakan terhadap sesiapa yang berkumpul di suatu tempat larangan dan tanpa kebenaran di bawah Seksyen 9 (5) Akta,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, perhimpunan yang tidak dibenarkan diadakan di sekolah-sekolah seperti yang dinyatakan dalam jadual Pertama dalam Seksyen 3 akta tersebut.

Hasnan berkata, polis bertanggungjawab terhadap keselamatan dan ketenteraman awam. – MalaysiaGazette