Datuk Seri Najib Tun Razak

KUALA LUMPUR – Peningkatan pelabur asing ke Malaysia jelas menunjukkan dasar-dasar kerajaan dalam menentukan hala tuju ekonomi negara berada pada landasan yang betul.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, bukan mudah untuk menarik pelabur asing kerana ia menjadi rebutan antara negara di seluruh dunia.

Menurut beliau, peningkatan yang mengkagumkan itu menunjukkan keyakinan para pelabur asing terhadap ekonomi Malaysia.

“Secara tidak langsung, dakwaan kononnya negara Malaysia akan bankrap ataupun Malaysia adalah sebuah negara yang gagal merupakan fitnah dan tuduhan yang berniat jahat,” katanya dalam blognya di sini hari ini.

Malaysia berjaya meraih RM59 bilion melalui pelaburan asing pada tahun lalu berbanding RM36 bilion pada tahun 2015. Ini menjadikan jumlah pelaburan pada tahun lalu sebanyak RM207.9 bilion.

Najib berkata, sekiranya pelabur luar yakin terhadap ekonomi Malaysia, adakah kita sebagai rakyat Malaysia mempunyai alasan lain untuk menidakkan fakta tersebut.

Jelas beliau, kerajaan akan berusaha agar ekonomi negara terus berkembang dan memberi manfaat kepada seluruh rakyat jelata.

Lantaran itu, Perdana Menteri berharap rakyat Malaysia agar terus yakin terhadap usaha kerajaan kerana keyakinan itu merupakan suntikan semangat untuk kerajaan terus memperteguhkan ekonomi negara. – MalaysiaGazette