Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berucap dan seterusnya merasmikan majlis pelancaran kempen Ekspresi Negaraku di Putrajaya. foto SAFWAN MANSOR, 18 MAC 2017

PUTRAJAYA – Perdana Menteri mendedahkan ada pihak tidak bertanggungjawab yang memberikan maklumat salah kepada Raja Salman Abdulaziz Al-Saud berhubung keadaan politik Malaysia bagi tujuan menggagalkan pelaburan Arab Saudi ke Malaysia.

Datuk Seri Najib Razak berkata, pihak terbabit membuat tuduhan dengan memberitahu Raja Arab Saudi kerajaan tidak mampu membayar gaji penjawat awam dengan hasrat negara pengeluar minyak itu menarik balik pelaburan bernilai RM31 bilion antara Malaysia dengan Aramco.

“Tuan-tuan, pelaburan tersebut hampir tidak menjadi kenyataan kerana apa, bila kita siasat pihak Aramco telah mengatakan mereka keberatan untuk melabur kerana mereka telah meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara risiko politiknya tinggi.

“Kononnya, mengikut maklumat yang mereka terima keadaan politik Malaysia tidak stabil, mereka diberitahu KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) hampir bankrap dan kita tak mampu membayar gaji kepada penjawat awam,” kata kata beliau ketika melancarkan Ekspresi Negaraku di Dataran Putrajaya hari ini.

Bagaimanapun, Najib berkata, nasib baik Raja Salman tidak terpengaruh dengan dakwaan tersebut selepas pihak kerajaan memberikan penjelasan sebenar bagi menepis tuduhan tidak tepat itu.

“Maklumat yang salah mereka terima, sebab itulah mereka meletakkan premium yang terlalu tinggi risiko politik tetapi Alhamdulillah tuan-tuan bila kita berjumpa dengan mereka dan beri maklumat yang lebih tepat dan sahih bahawa sebenarnya Malaysia ini negara yang berjaya bahawa Malaysia sebuah negara yang mendapat penarafan dalam kategori A antara terbaik dunia baru mereka sedar bahawa maklumat yang mereka terima itu tidak betul akhir sekali mereka setuju untuk melabur RM31 bilion dalam negara kita,” katanya lagi.

Menurut Najib, tindakan pihak tidak bertanggungjawab itu dikecam kerana cuba menggagalkan pelaburan kepada negara yang sepatutnya boleh memberikan banyak manfaat.

“Ertinya apa? Adik-adik sekalian yang muda ini, anak-anak kita yang bakal keluar universiti akan dapat pekerjaan dan masa depan yang lebih terjamin tapi bayangkan ada orang beri maklumat yang palsu kepada mereka, apa yang berlaku hampir-hampir rezeki yang sepatutnya datang kepada kita hampir-hampir terlepas dari tangan kita,” ujarnya.

Beliau juga menyifatkan pihak tidak bertanggungjawab tersebut tidak berhati perut kerana akhirnya rakyat yang menjadi mangsa.

“Itu berlaku kerana ada orang dikalangan kita tidak ada perasaan tidak ada hati perut tujuannya nak gagalkan negara kita, motifnya politik mangsanya rakyat Malaysia nanti.

“Sebab itu lah kita kena betulkan persepsi dan maklumat ini supaya rakyat faham dan gambaran imej negara kita terus berada pada tahap sebenarnya,” ujarnya.

Saudi Aramco dan Pertronas memeterai perjanjian pelaburan bernilai RM31 bilion pada 28 Februari lepas.

Di bawah perjanjian itu, Saudi Aramco, syarikat petroleum dan gas asli nasional Arab Saudi, akan membangunkan dan menguruskan loji penapisan minyak di Pengerang (Johor), di bawah projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid). – MalaysiaGazette