KUALA LUMPUR – Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) memaklumkan masalah pengendalian bagasi sehingga menyebabkan penangguhan penerbangan daripada Terminal Utama Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) kini pulih.

Dalam kenyataanya di sini hari ini, pengendali lapangan terbang tersebut berkata, mereka sudah menerima maklum balas daripada pengendali keluar masuk bagasi yang dilantik oleh beberapa syarikat penerbangan di KLIA, AeroDarat Service yang mengatakan vendor mereka telah menyelesaikan isu-isu berkaitan kekurangan tenaga kerja.

“Bagaimanapun kami seperti biasa tetap ingin menasihatkan para penumpang untuk tiba di lapangan terbang lebih awal bagi memastikan kelancaran perjalanan,” katanya.

Semalam, lebih 50 penerbangan di KLIA terpaksa ditunda akibat kegagalan sebuah syarikat penerbangan menguruskan sistem keluar masuk bagasi sejak jam 7.30 pagi.

Ini menyebabkan kekecohan kerana terdapat bagasi penumpang yang tidak sampai ke destinasi.

Kejadian tersebut berlaku dipercayai akibat rasa tidak puas hati kakitangan syarikat pengurusan bagasi tersebut dengan jadual tugasan baharu.

Tular di media-media sosial gambar bagasi-bagasi penumpang yang tidak diurus dengan baik.-MalaysiaGazette