Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang.

CYBERJAYA – Tida rundingan apa-apa lagi antara Pas dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), kata Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Presiden Pas itu menegaskan, ini kerana PPBM telah secara rasmi menyertai Pakatan Harapan (PH).

Tegas beliau, pendirian Pas adalah muktamad untuk tidak bekerjasama dengan mana-mana parti dalam PH.

“Tidak ada rundingan lagi. Kita sudah tutup pintu rundingan dengan PPBM,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pofesional Malaysia di sini, hari ini.

Abdul Hadi berkata, kepimpinan PPBM tahu pendirian Pas tetapi mereka mengambil keputusan untuk menjadi salah satu parti komponen PH.

Kata beliau, Penasihat PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamed pun tahu pendirian Pas tetapi bekas perdana menteri itu telah memilih berbuat demikian.

Mahathir Selasa lalu secara rasmi mengumumkan PPBM menjadi sebahagian daripada PH.

Mengenai cadangan Datuk Mohamad Ezam Nor hendak menubuhkan parti baharu Parti Bebas Rasuah, Abdul Hadi berkata, sesiapa sahaja boleh buka parti kerana negara mengamalkan demokrasi.-MalaysiaGazette

Comments are closed.