“PERWAKILAN harus ingat, kekalahan saya ini adalah permulaan kepada berakhirnya legasi ayah saya.

“Saya tidak menyangka bahawa segala jasa ayah saya tidak dikenang lagi.”

Itu kononnya kata-kata Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Mohd. Abduh Nik Abdul Aziz ekoran kekalahan teruknya merebut jawatan Yang Dipertua Pas Pengkalan Chepa baru-baru ini.

Nik Abduh tewas teruk kepada Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Dr. Izani Husin yang juga penyandang jawatan itu sebelum ini.

Izani mendapat 207 undi manakala Nik Abduh hanya 37 undi sahaja. Pas Pengkalan Chepa diketuai Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah yang juga penyandang dan memenanginya tanpa bertanding kali ini.

Dalam mesej yang ditularkan itu, Nik Abduh seolah-olah memberi amaran kepada perwakilan yang dianggapnya ‘mengkhianati’ ayahnya, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Bagaimanapun, Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat itu menafikan kata-kata itu keluar dari mulutnya malah menganggap ia tidak lain tidak bukan perbuatan mereka yang berdendam dengan Pas.

Malah beliau menganggap ia mungkin kerja pihak Parti Amanah Negara (PAN).

Pengkalan Chepa merupakan kubu kuat Pas dan pernah dimenangi oleh Nik Aziz dan ia relevan dengan pengaruh bekas Mursyidul Am Pas itu dan bila anaknya sendiri kalah ia pasti menimbulkan pelbagai spekulasi demi spekulasi.

Ramai kata Pengkalan Chepa penentu kepada kedudukan Kelantan itu sendiri pada masa pemilihan dan pilihan raya Pas atau membawa makna parti serpihannya, Parti Amanah Negara (PAN) sudah mula diterima ramai di sana.

Bagi penyokong PAN, sudah tentu menganggapnya kekalahan Nik Abduh – yang dimomokkan sebagai orang menyokong usaha Pas bekerjasama dengan Pas – sebagai signal parti itu sendiri tidak menyukai Nik Abduh.

Malah mereka juga mendakwa kemenangan Izani yang mewakili golongan profesional satu tamparan kepada pro ulama seperti Mohd. Amar dan kedua-dua mereka juga didakwa bukan satu kem.

Sebelum itu, abang Nik Abduh, Nik Omar juga didakwa sudah menyertai PAN dan mendakwa pembawaan PAN lebih mirip kepada perjuangan Islam yang dibawa oleh ayah mereka namun ia juga telah dinafikan Nik Abduh.

Serangan-serangan kepada Pas Kelantan nampaknya semakin ganas dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob juga tidak terkecuali daripada menjadi sasaran.

Minggu lepas, pembubaran Pas Cawangan Kampung Laut – yang menjadi kawasan Ahmad – oleh Penasihat PAN Kelantan, Datuk Husam Musa didakwa memberi natijah seolah-olah protes terhadap kerajaan negeri semakin merebak.

Itu belum lagi kes-kes rasuah pembalakan, salah guna kuasa dan sebagainya yang saban hari didedahkan oleh Husam.

Walaupun ia mungkin sekadar persepsi namun dalam konteks politik Malaysia ia boleh memberi kesan kepada Pas Kelantan sekiranya tidak ditangani dengan baik selain memberi kesan kepada Pas Pusat sendiri dalam rangkanya kekal menjadi dominan dalam landskap politik tanahair pada masa depan.-MalaysiaGazette