Naib Presiden PAS, Idris Ahmad (tengah) sambil diiringi Pemangku Yang di Pertua PAS Kawasan Titiwangsa, Tuan Haji Khairul Annuar Abdul Manap (kanan) bersalaman dengan para perwakilan selepas hadir merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Titiwangsa di Auditorium MPAJ, Pandan Indah, Selangor. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 19 MAC 2017

KUALA LUMPUR – Pas hari ini bertegas agar pihak berkuasa terutamanya Jabatan Kemajuan Agama Islam (JAKIM) mengambil pendirian agar menghentikan aktiviti ‘Raja Bomoh’ yang kini menjadi bahan ketawa ramai pihak terutamanya masyarakat bukan Islam.

Mengambil kira perkara itu, Naib Presiden Pas Idris Ahmad berkata, siasatan segera harus dijalankan badan berkaitan agama Islam itu dalam memastikan Islam tidak dipandang remeh oleh orang luar terutamanya yang mencerminkan agama Islam.

“Suruh JAKIM dan pejabat agama siasat. Kita tidak ada kuasa. Kita harapkan JAKIM siasat. Itu bidang tugas jabatan agama. Ini tidak sepatutnya berlaku sehingga menjadi bahan ketawa orang.

“Malah kalangan bukan Islam pun ketawa melihat perkara itu. Ini merosakkan imej Islam,” katanya.

Idris yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pas Titiwangsa di Majlis Perbandaran Ampang awal hari ini.

Sebelum ini Jabatan Agama Islam (JAWI) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengesan ‘Raja Bomoh’ atau nama sebenarnya Ibrahim Mat Zin.

Ia berikutan tindakan beliau yang didakwa telah merosakkan imej agama Islam.

Ibrahim dicari berikutan tindakan beliau yang mengadakan upacara ‘memagar’ Malaysia daripada ancaman asing khususnya Korea Utara di sebuah pantai di Selangor baru-baru ini.

Sebelum ini Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mengingatkan orang ramai agar tidak mentularkan upacara bomoh Ibrahim yang secara tidak langsung mempromosikan individu berkenaan.

“Memang inilah matlamat individu terbabit iaitu dicorakkan supaya menjadi seorang yang lebih popular. Banyak lagi agenda negara yang lebih besar boleh dikongsikan.

“Jika menyebarkan aktiviti ini, dia yang akan mendapat publisiti sedangkan kita boleh berfikir sama ada upacara berkenaan logik atau sebaliknya,” katanya pada Sabtu.

Kerajaan Perak sebelum ini mewartakan fatwa mengenai pengharaman upacara pembomohan Ibrahim Mat Zain di bawah Seksyen 36 dan Seksyen 36 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 pada 3 Ogos 2015. -MalaysiaGazette.