KUALA LUMPUR – Sebagai satu kelainan, ratu Jazz negara, Datuk Sheila Majid akan mengadakan satu showcase istimewa di dalam hutan tertua dunia, Sheila Majid Live @ Belum Rainforest Resort, Perak pada 29 April ini.

Sheila atau nama sebenarnya Shaheila Abdul Majid, 52, berkata, persembahannya nanti akan diadakan dalam suasana intim dengan sasaran seramai 100 orang penonton dan berdurasi 45 minit itu.

“Saya bakal mendedangkan lagu-lagu popular serta beberapa lagu petikan album terbaharunya yang akan dilancarkan dua minggu sebelum berlangsung showcase tersebut.

“Persembahan saya akan diiringi oleh kumpulan pemuzik yang diketuai oleh suami saya sendiri, Acis.

“Selain itu, peminat juga boleh turut serta bersama saya dan anak-anak saya melakukan pelbagai aktiviti sepanjang berada di sana nanti antaranya melawat perkampungan orang asli, jungle trekking dan sebagainya. Selain itu, seramai 30 orang peminat bertuah berpeluang menikmati aktiviti barbeque bersama saya,” katanya pada sidang media pengumuman showcase tersebut di Menara Mustapha Kamal, Damansara di sini baru-baru ini.

Sheila memberitahu idea showcase itu timbul selepas beliau menikmati pengalaman percutian bersama keluarga di Taiping, Perak pada hujung tahun lalu.

Sementara itu, Sheila Majid Live @ Belum Rainforest Resort menawarkan dua pilihan pakej iaitu pakej-pakej untuk 2 hari 1 malam yang berharga RM3,100 (bronze), RM3,400 (Silver), RM4,300 (Gold) RM4800 (Platinum).

Sementara pakej-pakej 3 hari 2 malam pula berharga RM3,800 (Bronze), RM4,300 (Silver), RM5,500 (Gold) dan RM6,000 (Platinum).

Maklumat lanjut mengenai pakej-pakej, layari www.belumrainforestresort.com

Hhasil jualan tiket showcase ini akan disalurkan ke tabung pemuliharaan hutan ini. – MalaysiaGazette