Azam Baki
Azam Baki

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang memantau rapi pergerakan pihak yang mengusahakan `bisnes’ daun ketum dengan perlindungan anggota agensi penguatkuasaan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki berkata, pihaknya sudah mengenal pasti beberapa suspek yang menerima wang perlindungan daripada pengusaha-pengusaha daun ketum.

“Kami sudah ada petunjuk. Berikan kami sedikit masa untuk bertindak.

“Mereka yang didapati terlibat termasuk anggota penguatkuasaan akan berhadapan dengan tindakan undang-undang,” katanya lapor The Star Online.

Menurut laporan itu Azam mendakwa, pengusaha daun ketum berani menjalankan perniagaan kerana anggota-anggota agensi penguat kuasa mengambil sikap `tidak tahu’.

“Kami ada sebab untuk mengesyaki sebab sesetengah pegawai menerima antara RM150 dan RM500 setiap bulan sebagai sogokan tidak diambil tindakan ke atas mereka,” kata laporan itu memetik sumber.

Di bawah Akta Racun, perniagaan daun ketum adalah satu kesalahan. Pihak berkuasa kini mempergiatkan operasi membanteras daun ketum.

Kelmarin, Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (AADK) Perlis menahan empat warganegara Thailand dan dua penduduk tempatan yang positif dadah serta seorang tauke ketum dalam operasi bersepadu di Wang Kelian dan Pos Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Padang Besar.

Semasa operasi ke atas sebuah rumah di Taman Wang Kelian yang dijadikan pangkalan mendapatkan bekalan ketum, 11 warga Thailand yang bekerja sebagai pemandu motor tambang berada di rumah itu dan empat daripada mereka positif syabu.

Pihaknya turut merampas 68 bungkus air ketum dan lima kilogram daum ketum. – MalaysiaGazette