Dayang Nurfaizah. foto ADIB AIMAN ROSLI , 14 MAC 2017
Dayang Nurfaizah. foto ADIB AIMAN ROSLI , 14 MAC 2017

KUALA LUMPUR – Penyanyi Dayang Nurfaizah menyangkal dakwaan dia mempunyai masalah dengan komposer dan penyanyi rap, Malique gara-gara tidak mempromosi lagu baharu kolaborasi mereka berjudul Pejamkan Mata.

Dayang, 35, menjelaskan, biarpun lagu itu bukan lagunya, dia masih menjalankan tanggungjawab sebagai artis dalam mempromosi lagu berkenaan kepada pihak media

“Lagu itu lagu Malique dan bukan lagu saya namun saya tetap bercakap tentang lagu tersebut di mana-mana temuramah media.

“Apapun promosi sepenuhnya perlu dilakukan oleh pihak mereka sendiri.

“Namun saya tiada masalah jika diperlukan untuk tujuan promosi kerana Pejamkan Mata sebuah lagu yang berkualiti,” katanya.

Dayang atau nama sebenarnya Dayang Nurfaizah Awang Dowty ditemui pada majlis sidang media konsert amal Tapestry Of Colours 2017 yang diadakan di Gelari Petronas, Suria KLCC, di sini, baru-baru ini.

Lagu Pejamkan Mata ciptaan sepenuhnya Malique dimuatkan dalam album TKO bawah label Qarma Musiq milik Malique sendiri.

Dayang turut mengakui dia boleh menyanyikan lagu berkenaan dalam mana-mana persembahannya tanpa kehadiran Malique namun ia bergantung kepada situasi.

“Saya lebih selesa jika lahu berkenaan dinyanyikan bersama penyanyi sebenar lagu itu.

“Saya terima tawaran untuk menyanyi lagu itu sebab dia (Malique).

“Lagipun poses rakaman dibuat secara berasingan kami cuma bercakap dalam telefon sahaja,” ujarnya.Dalam pada itu, bercakap tentang konsert amal Tapestry of Colours, Dayang berkata, dia akan  menyanyikan empat buah lagu.

Acara yang bakal disertai seramai 200 pelajar jurusan kejuruteraan dan teknologi itu akan diadakan pada 29 Julai depan di Dewan Filharmonik Petronas, di sini.Tiket boleh didapati dengan harga RM106 hingga RM446 di www.mpo.com.my. – MalaysiaGazette