Tajuddin Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Parlimen Cheras boleh dirampas semula dan kembali menjadi milik UMNO pada akan datang sekiranya berlaku pertambahan jumlah kaum Melayu di kawasan itu.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Tajuddin Abdul Rahman berkata, ini kerana kemenangan parti pembangkang di parlimen itu pada pilihan raya sebelum ini disebabkan isu perkauman.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani memberitahu, senario itu dapat dilihat apabila pengundi di kalangan kaum Cina telah memberi kemenangan kepada calon pembangkang.

“UMNO Bahagian Cheras kalau hendak menang balik pilihan raya di parlimen ini, mereka perlu jumlah orang Melayu yang ramai. Kita tidak kata boleh ia mustahil kerana jika penduduk Melayu lebih ramai, satu hari nanti UMNO boleh dapat balik Parlimen Cheras.

“Ini kerana parti pembangkang menang pun sebab perkauman, orang Cina yang beri kemenangan kepada calon pembangkang dan miliki semangat perkauman.

“Berbeza dengan kerajaan Barisan Nasional, semangat perkauman kita tidak membahayakan. Satu kerajaan yang adil kepada semua.

“BN yang diterajui UMNO mengamalkan keadilan kepada kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain apabila semua mendapat peluang yang saksama dan kemudahan dari segi ekonomi dan pelajaran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Festival Berendoi, Marhaban dan Bertahnik Siri ke-3 2017 anjuran Kelab Perintis Muda dan Kreatif dan Pergerakan Puteri UMNO di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (tengah) dan Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee (lima kiri) bergambar kenangan bersama peserta sempena Festival Berendoi, Marhaban dan Bertahnik Siri ke 3 di Pusat Rekreasi Cheras, Kuala Lumpur. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 19 MAC 2017.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (tengah) dan Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee (lima kiri) bergambar kenangan bersama peserta sempena Festival Berendoi, Marhaban dan Bertahnik Siri ke 3 di Pusat Rekreasi Cheras, Kuala Lumpur. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 19 MAC 2017.

Mengulas lanjut, Tajuddin berkata, sekiranya  BN kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 akan datang, kuasa daripada orang Melayu akan bertukar milik kepada orang Cina yang bertunjangkan parti DAP.

Tegas beliau, DAP yang kini menjadi kerajaan di Pulau Pinang dan menguasai Selangor sangat diragui keadilan mereka jika membentukan kerajaan persekutuan.

“Kita boleh lihat bagaimana orang Melayu di Pulau Pinang ditindas secara halus kerana dasar perumahan yang menyebabkan orang Melayu terpaksa keluar dari negeri itu

“Peluang ekonomi juga disekat kerana peniaga kecil tidak bantu disebabkan kerajaan pimpinan DAP. Itu sudah membezakan antara kerajaan BN ketika memimpin Pulau Pinang dahulu.

“Selangor pula sekarang dan dulu jauh berbeza. Walaupun Azmin sebagai orang Melayu menjadi Menteri Besar tetapi beliau dikelilingi oleh Exco-Exco yang terdiri daripada DAP yang menentukan dasar kerajaan negeri.

“Jadi apa pembelaan yang dilakukan untuk orang Melayu? Tidak ada apa-apa,” katanya. – MalaysiaGazette