Datuk Seri Anifah Aman

KUALA LUMPUR – Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Anifah Aman akan mengadakan
lawatan kerja ke Washington untuk menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Luar Gabungan
Global terhadap Daesh pada 22 Mac 2017.

Mesyuarat yang akan dihoskan oleh Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Rex Tillerson bertujuan memperhebatkan kempen menangani Daesh dengan kerjasama daripada 68
rakan-rakan daripada Gabungan Global.

Kementerian Luar Negeri dalam kenyataannya di sini berkata, mesyuarat itu bakal membincangkan isu-isu seperti menangani keperluan kemanusiaan segera an bantuan penstabilan yang diperlukan di kawasan-kawasan di Iraq dan Syria yang sebelum ini di bawah kawalan Daesh.

Mesyuarat Menteri-menteri Luar Gabungan Global ini dijangka mengenal pasti mekanisme yang sesuai untuk menangani serangan berterusan Daesh yang telah menyebabkan kehilangan nyawa yang tidak berdosa di seluruh dunia.

Selain itu memberi perhatian kepada mencari jalan untuk mengekang penyebaran ideologi pelampau.

Kementerian Luar Negeri menambah, Anifah dijangka bercakap mengenai ancaman semasa oleh Da’esh daripada perspektif Malaysia dan serantau serta cabaran dan langkah-langkah balas.

“Beliau juga akan berkongsi pengalaman Malaysia dan idea mengenai menangani keganasan dan mencegah keganasan,” kata kenyataan itu.

Mesyuarat itu merupakan lawatan kerja pertama Anifah ke Amerika Syarikat di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump dan beliau akan diiringi oleh pegawai-pegawai dari Kementerian Luar Negeri.

Selain menghadiri mesyuarat itu, Anifah juga akan mengambil peluang untuk bertemu buat pertama kali dengan rakan sejawatnya, Rex Tillerson untuk membincangkan isu-isu kepentingan bersama serta serantau dan pembangunan global.

Penyertaan Anifah pada Mesyuarat Menteri-menteri Luar Negeri Gabungan Global mengesahkan sokongan dan komitmen Malaysia terhadap kempen Gabungan Global untuk menangani Daesh.

Malaysia percaya kerjasama antarabangsa kerjasama seperti melalui inisiatif pelbagai hala ini, adalah kritikal dan telah menjadi salah satu komponen penting di Malaysia dalam strategi memerangi keganasan. – MalaysiaGazette