Cesare Prandelli menolak jawatan Pengurus Leicester City kerana kecewa dengan layanan buruk ke atas Claudio Ranieri yang dipecat Februari lalu. Foto: the Sun

ITALI – Bekas Pengurus bola sepak Itali, Cesare Prandelli mendakwa telah menolak tawaran menjadi Pengurus Leicester City di England.

Cesare menolak pujukan the Foxes kerana kecewa dengan cara layanan kelab itu terhadap rakan senegaranya, Claudio Ranieri.

Cesare mendakwa juara Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu itu tidak berlaku adil dalam memecat Ranieri yang membantu the Foxes beraksi dalam Liga Juara-juara Eropah musim ini.

Beliau yang juga bekas Pengurus Fiorentina, Galatasarey dan Valencia mendedahkan dia telah menolak tawaran kelab itu yang mahu mengisi kekosongan Ranieri.

“Saya menolak tawaran mereka. Kamu tidak akan menerima kerja sebegitu, takkan kamu hendak pergi ke sana selepas melihat cara Ranieri diperlakukan di sana.

‘Saya tidak pergi ke sana (King Power Stadium),” katanya dalam temubual bersama Televisyen Perancis SFR.

Cesare yang berusia 59 tahun berkata, Ranieri telah mencapai sesuatu yang luar biasa di Stadium King Power sebelum dipecat pada Februari lalu.

“Dia (Ranieri) seorang pengurus yang menang gelaran bersejarah dan terus dicampak keluar oleh kelab EPL itu beberapa bulan selepas itu.

Pemilik Leicester City dari Thailand itu memecat Ranieri sembilan bulan selepas membantu Leicester City menjuarai gelaran EPL dengan perbezaan 10 mata dari pesaing terkuat.

Claudio Ranieri
Claudio Ranieri. Foto: The Sun

Tetapi dia meninggalkan kelab itu semasa kelab menduduki di tangga 17 dalam carta EPL atas alasan hilang kepercayaan pemain dan kelab.

Pemilik kelab membuktikan tindakannya betul selepas melantik jurulatih sementara Craig Shakespeare sehingga akhir musim dan menang kesemua empat perlawanan selepas itu.

Kemenangan 3-2 ke atas West Ham dalam liga domestik memberi harapan tidak memasuki zon penyingkiran selain mencatat sejarah mara ke pusingan suku akhir Liga Juara-Juara Eropah musim ini.

the Foxes akan berdepan ujian getir bertemu Atletico Madrid untuk membuat perhitungan ke separuh akhir.- MalaysiaGazette