KUALA LUMPUR – Pelakon terkenal Hong Kong, Andy Lau dilaporkan mendapat bayaran pampasan sebanyak HK$80 juta (RM45.73 juta) daripada syarikat insurans akibat kecederaan jatuh kuda.

Akhbar Kwong Wah Yit Poh melaporkan, daripada jumlah itu, Andy yang kini tidak dapat bekerja dibayar RM195,000 sehari berdasarkan 51 hari dia dimasukkan ke hospital dan tempoh enam bulan untuk pemulihan.

Pada 17 Januari lalu, Andy mengalami kecederaan selepas terjatuh kuda ketika menjalani penggambaran sebuah iklan komersial di Thailand.

Akibat kejadian itu, pelakon berusia 55 tahun itu dikejarkan ke hospital sebelum diterbangkan ke Hong Kong untuk mendapat rawatan.

Ketika kejadian, kuda ditunggang Andy tiba-tiba hilang kawalan dan mencampakkan pelakon itu ke tanah sebelum memijak bahagian belakang badannya sehingga menyebabkan tulang pelvis pelakon itu cedera. – MalaysiaGazette