PORT LOUIS  – Pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Paramasivam Muthusamy mengharumkan nama negara selepas menerima Anugerah Khas Sijil Pengiktirafan Mauritius daripada Perdana Menteri Mauritius, Pravind Kumar Jugnauth semalam.

Majlis penganugerahan itu pada Majlis Sambutan Ulangtahun ke-80 Mauritius Tamil League malam tadi.

Beliau menerima anugerah itu di hadapan tetamu seramai 800 orang termasuk menteri-menteri, ahli pertubuhan badan-badan Mauritius, para pensyarah, penderma dan orang ramai.

Pengiktirafan diberi kepada Dr. Paramasivam kerana sumbangannya di Mauritius selama 21 tahun apabila beliau telah berusaha mengembangkan ilmu kesarjanaan (Language and Culture) di Mauritius.

Sumbangan itu dilakukan melalui pelbagai aktiviti seperti Penyelidikan dan Penerbitan, Seminar dan Persidangan, Students Cultural Exchange Program, Foster Family Program, Malaysian Food Festival dan Entrepreneur Tour.

Antara impak terbesar Paramasivam adalah buku beliau yang merupakan penerbitan UPM telah menjadi buku rujukan di universiti-universiti dan sekolah-sekolah di Mauritius .

Paramasivam berkata, beliau telah mengunjungi Mauritius sebanyak 50 kali dan kali pertama menjejak kaki ke pulau itu semasa menjadi pelajar program Ijazah Bacelor UPM pada tahun 1996.

“Perhubungan Malaysia-Mauritius diteruskan lagi semasa saya mula bertugas pensyarah di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi.

“Perhubungan dua hala Malaysia-Mauritius masih berterusan bersama Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar melalui pelbagai aktiviti pelajar,” katanya.

Terdahulu sebelum majlis, Dr. Paramasivam membuat kunjungan hormat bertemu Presiden Mauritius, Prof. Dr. Ameenaah Gurib-Fakim. – MalaysiaGazette