Pamandangan di dalam Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia yang baharu. foto SAFWAN MANSOR, 08 MAC 2017

KUALA LUMPUR – Mana-mana individu yang diisytiharkan muflis  masih boleh menerima bantuan wang tunai, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat berkata, pembayar cukai berdaftar dengan Jabatan Insolvensi Malaysia (Mdl) yang diisytihar muflis layak untuk menerima bantuan tersebut.

“Bagi mana-mana pembayar cukai individu yang telah diisytiharkan muflis dan berdaftar dengan Jabatan Insolvensi Malaysia (Mdl), mereka masih boleh menerima bantuan daripada kerajaan seperti BR1M,” kata Najib menjawab soalan Ahli Parlimen Putatan, Datuk Dr Makin@Marcus Mojigoh hari ini.

Setakat 31 Disember 2016, sebanyak 116 kes kebankrapan sudah didaftarkan dengan Mdl oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang melibatkan jumlah cukai tertunggak sebanyak RM14.4 juta untuk tindakan penggulungan.

Daripada jumlah tersebut sebanyak 93 kes dengan jumlah cukai tertunggak berjumlah RM11.32 juta melibatkan pembayar cukai individu, manakala 32 kes lagi dengan jumlah cukai tertunggak sebanyak RM3.08 juta melibatkan pembayar cukai.

Dalam pada itu, Najib juga memaklumkan dewan sehingga 31 Disember 2016, jumlah kasar yang dikutip LHDN adalah sebanyak RM114.02 bilion.

Manakala jumlah cukai pendapatan yang belum dijelaskan sepenuhnya kepada LHDN adalah dianggar sebanyak RM6.81 bilion.

“Untuk maklumat, undang-undang percukaian membenarkan kerajaan untuk mengambil tindakan ke atas mereka yang gagal menjelakan cukai tertunggak.

“Antara proses pemungutan yang dilakukan sebelum sebarang tindakan guaman sivil diambil adalah dengan mengeluarkan surat peringatan dan notis tunggakan cukai kepada pembayar cukai serta menguatkuasakan Sekatan Keluar Negara dibawah Seksyen 104 Akta Cukai Pendapatan 1967 dan Seksyen 22 Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976 sekiranya cukai masih lagi gagal menyelesaikan cukai yang tertunggak,” katanya.

Selain itu, jika individu itu masih ingkar, tindakan juga boleh diambil menerusi tindakan guaman sivil dibawah Seksyen 106 Akta Percukaian 1967. – MalaysiaGazette.