Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Ketakseimbangan dalam permintaan dan penawaran ringgit di pasaran pertukaran asing berpunca daripada perolehan eksport dalam mata wang asing yang tidak ditukar kepada ringgit, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Najib, yang juga Menteri Kewangan itu berkata, masalah itu dikenalpasti Jawatankuasa Pasaran Kewangan sebagai punca ketaktentuan ringgit walaupun Malaysia sebenarnya sebuah negara pengekspsort bersih dan mencatat lebihan akaun semasa dalam imbangan pembayaran.

“Walaupun negara kita pengeksport bersih dan mencatat lebihan akaun semasa dalam imbangan pembayaran, perolehan eksport dalam mata wang asing tidak ditukar kepada ringgit lalu menyebabkan ketakseimbangan dalam permintaan dan penawaran ringgit di pasaran pertukaran asing.

“Bagi membendung masalah ini, jawatakuasa Pasaran Kewangan bersama Bank Negara telah mengambil langkah-langkah untuk menggalakkan pasaran perlindungan nilai dan mengatasi ketakseimbangan dalam pasaran pertukaran asing dalam negara termasuk mewajibkan penukaran hasil eksport dalam mata wang asing ke ringit utk mengatasi ketakseimbangan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat semasa menjawab soalan berhubung ketaktentuan ringgit yang dialami negara ketika ini.

Walaupun baharu dua bulan langkah ini diperkenalkan ia sudah menampakkan hasil apabila turun naik ringgit semakin stabil, kata Najib.

“Aliran perolehan eksport mata wang asing ke dalam pasaran kita akan meningkatkan mudah tunai mata wang aisng dalam pasaran dalam negeri.

“Walaupun hanya dua bulan sejak pengumuman langkah ini, terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hasil menggalakkan, perkara paling utama ialah turun naik ringgit telah menujukkan kestabilan yang ketara sejak langkah-langkah ini mula beroperasi,” katanya.

Dalam pada itu, menurut Najib lagi, pihak Bank Negara dari semasa ke semasa mengambil inisiatif lain bertujuan mengembangkan pasaran tukaran wang asing, bon dan wang dalam negara.

“Bank Negara dari masa ke semasa akan memperkenalkan langkah-langkah liberalisasi baharu yang bertujuan untuk mengembangkan pasaran tukaran wang asing, bon dan wang dalam negara untuk memenuhi permintaan berserta pasaran dan membolehkan pernigaan tempatan untuk mengurus dedahan kadar pertukaran di dalam negara,” katanya.

Bagi tempoh jangka masa panjang pula, Najib berkata menerusi langkah-langkah transformasi diperkenalkan kerajaan ia diharapkan dapat memberi sokongan ke arah pengukuhan nilai ringgit.

“Dalam jangka lebih panjang nilai ringgit akan didorong terutamanya oleh kekuatan asas ekonomi negara.

“Dalam hal ini usaha kerajaan untuk laksanakan transformasi ekonomi termasuk mempelbagaikan sumber pertumbuhan, pembaharuan fiskal dan langkah memastikan sistem kewagan yang kukuh dan stabil akan dapat memberi sokongan ke arah pengukuhan nilai ringgit,” katanyaa. – MalaysiaGazette