Gambar arkib Lim Guan Eng bersama Abdul Hadi Awang.
KUALA LUMPUR – Perang mulut antara DAP dengan Pas tiada berkesudahan, dan terbaru Setiausaha Organisasi DAP, Loke Siew Fook menuding Pas telah merosak dan memecahkan pembangkang.

Ahli Parlimen Seremban itu juga menyatakan bahawa PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia perlu berdepan realiti dan memilih rakan kerjasama mereka selepas Pas tidak bersedia bekerjasama dengan parti yang mempunyai hubungan dengan DAP atau Amanah.

Katanya, Pakatan Harapan, yang mana Pas bukan sebahagian daripadanya, perlu diperkukuhkan dan bersiap sedia untuk menghadapi pertandingan tiga penjuru yang bakal muncul.

“Pas telah membentuk kerjasama dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia sebagai kuasa ketiga.

“Pas juga menyatakan tidak akan bekerjasama dengan parti yang mempunyai hubungan dengan DAP dan Amanah,” katanya kepada China Press.

Siew Fook berkata, kemunculan entiti Pakatan Harapan juga merupakan sesuatu realiti dan sikap keras Pas juga bermakna pertandingan tiga penjuru sukar dielakkan dalam pilihan raya.

“Pembangkang telah berpecah pada saat Pakatan Rakyat berbubar dan Pas menjadi pro-Barisan Nasional (BN). Sekarang Pas berkata mahu muncul sebagai kuasa ketiga,” kata Ahli Parlimen Seremban itu.

Siew Fook bagaimanapun berkata, BN tidak semestinya akan menang dalam tiga penjuru dan beliau juga mendakwa pengaruh Pas terhad kepada Pantai Timur.

Katanya lagi, kemenangan Pas di Pantai Barat Semenanjung sebelum ini khususnya di kawasan bukan Melayu adalah bergantung kepada Pakatan Rakyat yang kini sudah dibubarkan. – MalaysiaGazette