KUALA LUMPUR- Pakatan Harapan (PH) akan menghadapi masalah besar dalam isu pembahagian kerusi bagi menghadapi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Ke-14 (PRU-14) kelak.

Itu rumusan penganalisis politik, Prof. Madya Datuk Dr. Shamsul Adabi Mamat.

Menurutnya, penyertaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) selaku sekutu terbaharu PH – pembahagian kerusi melibatkan PKR, DAP, Parti Amanah Negara (PAN) dan PPBM akan menjadi lebih sukar.

Ini kerana PKR dan DAP sudah pasti tidak akan menyerahkan kerusi masing-masing berbanding PAN yang telah menyatakan hasrat untuk bertanding di setiap kerusi milik Pas pada PRU-14 nanti.

“PH dijangka akan menghadapi masalah pembahagian kerusi di PRU-14 akan datang sebab kerusi (Pas) yang ada (selain PKR dan DAP) sekarang milik PAN, jadi PPBM menjadi tambahan kepada kepada PH (untuk memikirkan kerusi yang akan diberikan) dan sudah pasti kerusi yang diinginkan PPBM adalah milik PKR, DAP dan PAN.

“Jadi, perebutan kerusi itu akan memberikan kesukaran kepada PH untuk memutuskan kerusi kepada PPBM,” katanya kepada Malaysia Gazette.

PH hari ini mengumumkan penyertaan PPBM secara rasminya dalam gabungan itu malah gabungn itu juga bersetuju mengadakan logo baru dan mengemaskini manisfestonya menuju PRU-14.

Ia diputuskan oleh Majlis Presiden PH yang dianggotai Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail selaku Presiden PKR, Lim Kit Siang yang mewakili DAP dan Mohamad Sabu daripada PAN untuk disesuaikan dengan penyertaan PPBM ke dalam gagasan itu.

Sehubungan itu, Shamsul berkata, PPBM bukan sahaja akan berdepan masalah dalam pembahagian kerusi malah parti itu juga turut akan menghadapi tentangan daripada Pas.

“PPBM mempunyai sedikit kelemahan untuk mewujudkan kerjasama dengan Pas kerana Pas sudah tidak mahu kerjasama dengan DAP dan PAN. Jadi, penyertaan PPBM dalam PH mungkin akan menjauhkan lagi mereka dengan Pas walaupun terdapat rundingan untuk memujuk Pas untuk sertai PH,” katanya lagi.

Pas dan PPBM sebelum ini giat mengadakan rundingan bagi menjalankan kerjasama diantara kedua-dua parti bagi menghadapi PRU-14 kelak.

Namun PPBM mengambil jalan mudah apabila memutuskan untuk bersama PH dan membiarkan rundingan antara kedua-dua parti tergantung tanpa keputusan yang muktamad. -MalaysiaGazette.