Kongsi
Raja Bomoh, Ibrahim Mat Zin

KUALA LUMPUR – Individu yang menggelar dirinya sebagai Raja Bomoh mempertahankan tindakannya yang melakukan ritual untuk menyelamatkan Malaysia daripada ancaman Korea Utara.

Bercakap dalam satu temu bual dengan laman portal The Straits Times Singapura, Ibrahim Mat Zin menegaskan apa yang dilakukan selaras dengan ajaran dan syariat Islam.

Malah katanya, ada juga pegawai kerajaan pernah meminta bantuan daripadanya sebelum ini.

“Kita tidak mempunyai senjata moden seperti Korea Utara, jika kita pergi berperang dengan senjata, kita akan kalah.

“Tapi kita menggunakan kaedah kuno untuk memagar udara, bumi dan air supaya peluru berpandu akan hilang dan tidak sampai ke Malaysia,” katanya dipetik daripada laman portal berkenaan.

Kata Ibrahim, usahanya itu turut dibantu oleh pengamal perubatan Islam dan bomoh lain sejak beberapa dekad lalu.

Pada 12 Mac, Ibrahim dan beberapa lagi individu mencetuskan kontroversi apabila melakukan ritual di pantai dekat Bagan Lalang.

Menerusi rakaman berdurasi 3.19 saat yang dimuat naik Drama Viral dan berlabel Semasa News itu, Ibrahim yang menggelar dirinya sebagai Raja Bomoh Sedunia Nujum VIP dengan panggilan Datuk Mahaguru bersama tiga pembantu termasuk seorang wanita dilihat melakukan upacara “halau serangan bom nuklear Korea Utara”.

Upacara itu dilakukan menggunakan buluh meriam, batang kayu yang dijadikan teropong, kelapa muda, sejadah dan semangkuk air laut.

“Upacara kali ini untuk melembutkan hati pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un supaya melepaskan sembilan rakyat Malaysia di Pyongyang dan memulihkan hubungan baik antara kedua-dua negara,” kata Ibrahim.

Tindakan Ibrahim dikritik banyak pihak yang menganggap ritualnya itu menyimpang daripada ajaran Islam dan menjadikan Malaysia, khususnya orang Melayu sebagai bahan jenaka.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki turut meminta orang ramai supaya tidak memviralkan video Ibrahim yang tersebar.

Malah, Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad menggesa Ibrahim supaya bertaubat dan menyuruhnya kembali ke ajaran Islam yang sebenar.

Zulkifli menyelar bomoh itu dengan berkata amalannya “bidaah” dan mesti dihentikan.

Mufti itu menasihati Ibrahim untuk berunding dengan badan rasmi agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia sebelum melakukan perbuatan yang dikaitkan dengan agama.

Dalam pada itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar turut menegaskan pihaknya akan memanggil Ibrahim untuk memberi keterangan.

Khalid memberitahu tindakan Ibrahim merupakan syirik dan bukan sebahagian daripada ajaran Islam. – MalaysiaGazette

Kongsi

Tinggalkan Jawapan