Presiden NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md. Yunos (kanan) bersama penyokongnya 'menyerbu' salah satu pusat perjudian haram di Sekinchan, Selangor baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Negeri Selangor mendahului negeri-negeri lain di Malaysia dalam meluluskan lesen Pusat Hiburan Keluarga (PHK) yang sering dikaitkan dengan aktiviti perjudian haram pada tahun 2016 apabila mencatatkan peningkatan tinggi berbanding tahun sebelumnya.

Selangor Pusat Hiburan KeluargaBerdasarkan jawapan bertulis yang dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Dewan Rakyat, pada tahun 2015, lesen yang diluluskan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor hanya sebanyak 63 lesen dan kemudiannya naik mendadak menjadi 230 lesen pada tahun 2016 – peningkatan sebanyak 3.6 kali ganda atau 265 peratus.

Keseluruhannya, lesen PHK yang diluluskan pada tahun 2015 adalah sebanyak 791 dan menurun kepada 670 lesen pada tahun 2016.

Pada tahun 2015, negeri Sarawak pula paling tinggi meluluskan lesen PHK sebanyak 222 lesen tetapi mengurangkannya menjadi 32 lesen sahaja pada tahun 2016, berbeza pula yang berlaku di Selangor, semakin banyak pula lesen yang diluluskan.

Daripada laporan KDN itu juga, ada pengendali pusat perjudiaan haram mengubah modus operandi dengan berselindung disebalik lesen PHK yang diperoleh mereka.

“Namun, aktiviti perjudian haram ini telah menukar modus operandi mereka dengan beroperasi disebalik perniagaan yang sah atas nama pusat hiburan keluarga (PHK) melalui lesen simulator yang dikeluarkan.

“Bagaimanapun, mesin-mesin tersebut telah diubahsuai untuk tujuan perjudian dan mereka juga turut mengubah lokasi daripada premis perniagaan ke kondominium bagi mengaburi pihak berkuasa,” kata laporan itu yang sama.

Dalam pada itu, pihak polis juga bekerjasama dengan PBT, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan pihak berkuasa air negeri bagi mengesan premis-premis yang memiliki lesen PHK tapi mengendalikan aktiviti tidak bermoral.

Terdahulu, Presiden Gabungan NGO Selangor, Datuk Seri Jamal Md. Yunos membangkitkan rasa tidak puas hati dengan pusat judi dan rumah urut di Selangor yang membiak macam ‘cendawan tumbuh selepas hujan’.

Jamal yang juga Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar sebelum itu antara individu yang aktif ‘memerangi’ rumah urut dan premis perjudian yang berselindung di sebalik lesen perniagaan dan mendesak Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengambil tindakan tegas.

Beliau mendakwa di Selangor sahaja terdapat kira-kira 7,000 premis sedemikian dan mereka bebas beroperasi kerana kerajaan negeri tidak berani mengambil tindakan tegas menarik balik lesen.-MalaysiaGazette