Menteri Pendidikan Tinggi merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Tunku Abdul Rahman hadir menyampaikan Anugerah Pingat Tungku (Emas) 2016 kepada penerima Dr. James Lian Yoon Chen (tiga kanan) pada Majlis Penyampaian Anugerah Pingat Tunku 2016 di Memorial Tunku Abdul Rahman Putra, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 20 MAC 2017

KUALA LUMPUR – Tiga graduan universiti awam (UA) yang cemerlang dalam pencapaian akademik menerima anugerah Pingat Tunku 2016 dalam satu majlis khas di sini, hari ini.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, penganugerahan oleh Yayasan Tunku Abdul Rahman (YTAR) itu bertujuan memartabatkan kecemerlangan pendidikan tinggi negara.

“”Pingat Tunku diperkenalkan pada 1979 dengan ditawarkan kepada graduan ijazah sarjana muda cemerlang yang memperoleh kepujian kelas pertama.

““Seseorang graduan mestilah mencapai Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) minimum 3.80, dan sangat aktif serta mencapai kecemerlangan dalam bidang kokurikulum sepanjang pengajiannya.

“Saya berharap agar penerima Pingat Tunku dapat menggunakan ilmu dan kepakaran mereka untuk terus menyumbang kepada pembangunan dan kesejahteraan negara serta masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penyampaian anugerah tersebut di Memorial Tunku Abdul Rahman.

Dalam majlis tersebut pemenang pingat emas untuk sesi 2016 dianugerahkan kepada graduan Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang pergigian, James Lian Yoon Chen, 24, yang menerima emas seberat 32 gram berserta wang tunai bernilai RM5,000.

Pingat perak dianugerahkan kepada graduan Ijazah Sarjana Muda Perubatan & Surgeri Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Hanisah Hassan, 25, manakala pingat gangsa diberikan kepada graduan Ijazah Sarjana Muda Sains (Fizik), Universiti Putra Malaysia (UPM), Muhammad Khairul Adib Muhammad Yusof, 22.

Masing-masing penerima membawa pulang emas seberat 32 gram dan wang tunai bernilai RM3,000 serta RM1,000.

Pada majlis sama, Idris turut menyempurnakan satu pemberian bantuan khas pendidikan yang diberi nama Biasiswa Khas Yayasan Tunku Abdul Rahman (BKYTAR).

Biasiswa itu merupakan pemberian kepada pelajar pengajian tinggi daripada keluarga golongan berpendapatan rendah dan memiliki PNGK sekurang-kurang 3.20.

Seramai 25 pelajar daripada pelbagai bidang pengajian telah menerima BKYTAR yang meliputi pembiayaan yuran pengajian dan elaun sara hidup bulanan sebanyak RM600 sebulan. – MalaysiaGazette