Ibrahim Mat Zin atau Raja Bomoh.

KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa tidak boleh lagi bertoleransi dengan Raja Bomoh atau nama sebenarnya Ibrahim Mat Zin jika tidak mahu imej Islam terus tercalar dan dipermainkan dengan sewenang-wenangnya sehingga tidak dihormati penganut agama lain, kata pendakwah.

Bukan sekali dua Ibrahim membuat ritual menggunakan ayat al-Quran dan kalimah suci, tapi sehingga hari ini tiada sebarang tindakan tegas diambil terhadapnya menyebabkan masih bebas melakukan sesuka hati walaupun secara jelas bertentangan dengan ajaran Islam.

Bagi Dr. Maszlee Malik, pensyarah kanan di Jabatan Fiqh dan Usul al-Fiqh, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), tindakan Ibrahim tersebut adalah cerminan kepada mentaliti sesetengah masyarakat Melayu yang masih sarat dengan mistik dan malas berusaha.

“Isu Raja Bomoh mencerminkan mentaliti dan realiti sesetengah masyarakat Melayu yang masih dibelenggu dengan mentaliti malas berusaha dan terlalu sarat dengan mistik.

“Mentaliti sebegini bukan hanya di kalangan masyarakat luar bandar dan mereka yang tidak berpendidikan, malang sekali ada di antara orang orang politik dan para peniaga Melayu yang bukan sahaja mempercayainya, malah menjadi pelindung kepada para bomoh,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Tanpa tindakan tegas yang pernah diambil terhadap Raja Bomoh menyebabkan Maszlee mempersoalkan sama ada terdapat layanan istimewa diberikan kepada Ibrahim berbeza jika dalam kes khalwat dimana pihak berkuasa agama lebih pantas mengambil tindakan.

“Tanpa perlindungan dari orang orang politik dan golongan yang berkuasa, mustahil Raja Bomoh boleh kebal dari ditangkap oleh pihak berkuasa agama.

“Bayangkan jika isu isu khalwat, pasukan penguatkuasa agama cepat dan tangkas bertindak, mengapa di dalam kes Raja Bomoh yang terang terang melakukan kesalahan jenayah Syariah dari sudut akidah masih terus bebas melakukan aksi-aksi sihirnya dengan menyalahgunakan ayat ayat alQuran dan nama Tuhan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Penolong Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia,  Ustaz Khisamudin Ismail pula menyifatkan tindakan Ibrahim itu lebih bermatlamat mencari kemasyhuran dengan memperdayakan orang yang lemah akidahnya.

“Memang mengarut, matlamat nak cari kemasyhuran memperdayakan orang yang lemah akidah,” kata Khisamudin kepada MalaysiaGazette.

Mengenai bentuk hukuman dan pendakwaan yang boleh diambil, seorang pakar undang-undang Islam, Prof. Madya Zulfakar Ramlee memberitahu, tindakan boleh dikenakan dibawah Seksyen 9, Ajaran atau amalan salah dalam Enakmen Jenayah (Syariah) 1992.

Dibawah peruntukan itu, seseorang yang didapati bersalah menjalankan sesuatu upacara atau sesuatu perbuatan yang berlawanan dengan Hukum Syarah adalah bersalah atas suatu kesalahan dan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Seksyen 9 lebih sesuai, dimana kejadian atau kesalahan berlaku di negeri itu bidang kuasa Mahkamah Syariah wujud,” kata Zulfakar yang juga pensyarah Kuliah Undang-Undang Ahmad Ibrahim Kulliyyah UIAM.

Beliau juga berkata bentuk hukuman juga boleh dinaikkan dengan perintah sesebuah mahkamah yang membuat pendakwaan itu.

Dalampada itu, Maszlee juga mencurigai mengapa walaupun Raja Bomoh yang berasal dari Perak itu sehingga kini tidak didakwa walaupun diketahui umum setiap Mahkamah Syariah wujud di semua negeri dan mempunyai peruntukan sama dibawah Seksyen 9 itu.

“Yang peliknya sehingga hari ini belum ada negeri yang dakwa beliau,”katanya.

Pada 12 Mac, Ibrahim dan beberapa lagi individu mencetuskan kontroversi apabila melakukan ritual di pantai dekat Bagan Lalang.

Menerusi rakaman berdurasi 3.19 saat yang dimuat naik Drama Viral dan berlabel Semasa News itu, Ibrahim yang menggelar dirinya sebagai Raja Bomoh Sedunia Nujum VIP dengan panggilan Datuk Mahaguru bersama tiga pembantu termasuk seorang wanita dilihat melakukan upacara “halau serangan bom nuklear Korea Utara”.

Tindakan Ibrahim dikritik banyak pihak yang menganggap ritualnya itu menyimpang daripada ajaran Islam dan menjadikan Malaysia, khususnya orang Melayu sebagai bahan jenaka. – MalaysiaGazette.