Kongsi

KUALA LUMPUR – Kali terakhir filem patriotik diterbitkan pada tahun 2003 melalui sentuhan Adman Salleh dengan filem Paloh.

Namun selepas itu, tiada produksi yang berani untuk mengeluarkan filem dengan genre yang agak berat.

Menerbitkan filem ini memerlukan bajet yang agak tinggi, namun penerbitnya perlu bersedia dengan kesuraman penerimaan audien.

Bahkan filem jenis ini boleh dikira dengan jari jumlahnya di Malaysia.

Antaranya Embun (2002), Leftenan Adnan (2000) dan filem nostalgik Bukit Kepong (1981).

Namun filem-filem ini tidak mengira filem terdahulu zaman filem hitam putih seperti Sarjan Hassan.

Malu sebenarnya hendak dibandingkan dengan negara Indonesia yang mempunyai banyak filem demikian.

Lihat sahaja filem Putih Merah (2009) yang mendapat sambutan luar biasa sehingga mempunyai dua sekuel.

Itu belum lagi filem seperti Sang Penari (2011).

Terkini Tangan Seni Sdn Bhd mengeluarkan filem Kanang Anak Langkau: The Iban Warrior (KAL) dengan sentuhan arahan Bade Haji Azmi yang mula di pawagam 16 March lalu.

Filem ini berkisar tentang wira negara Kanang Anak Langkau yang mempertahankan bumi kelahirannya dan dipinjamkan ke Semenanjung Malaysia.

KAL mengangkat kisah benar ketokohan wira Sabah ini dengan mengambil anak Kanang iaitu Langgi sebagai pelakon utama.

Melalui filem ini, dapat dilihat bagaimana Kanang secara tidak sengaja memasuki askar yang dipimpin tentera British.

Kelicikan Kanang mengenali alam hutan menjadi kekaguman tentera British untuk menjadikan dia sebagai tentera ketika itu.

Semangat Kanang juga dilihat sangat menebal sehingga sangup meninggalkan majlis perkahwinannya sendiri demi negara.

Namun sayang, filem ini dibangunkan ibarat sebuah dokumentari sahaja.

Penceritaan semata-mata tanpa ada apa-apa emosi untuk dikongsi membuatkan filem ini ditamatkan tanpa ada apa-apa perasaan.

Banyak babak yang boleh ditonjolkan rasa sedih diolah kosong.

Sebagai contoh ketika Kanang meninggalkan majlis perkahwinannya kerana mendapat panggilan markas tentera. Tatkala isterinya menangis dan hati Kanang berat meninggalkan majlis itu langsung tidak diolah dalam lakon layar.

Banyak babak lagi sebenanrnya yang dibiarkan kosong begitu sahaja.

Pemilihan Langgi sebagai watak utama mungkin sebagai sebuah nilai tambah untuk filem ini, namun sayangnya Langgi terlalu kaku dan tiada subteks.

Mungkin dia boleh beraksi sebagai tentera dengan baik namun dia memang tidak boleh berlakon.

Kemunculan Adi Putra dan Johan Ansari sebagai pelakon langsung tidak mendatang apa-apa makna kerana tiada skrip.

Malahan boleh dikatakan kemunculan mereka bagaikan pelakon tambahan semata-mata.

Selain itu teknik coloring juga agak teruk dalam filem ini. Penggunaan warna yellowish untuk menampakkan KAL adalah filem period amat teruk dengan resolusi yang rendah.

Bukan sahaja itu ada beberapa angle kamera terlepas tanpa coloring.

Melihat portfolio Bade sebelum ini melalui filem-filem terbitan dan arahannya, mungkin ini adalah kerja Bade yang perlu disembunyikan.

Bade sebelum ini pada tahun 2002 pernah diangkat dengan filem terbaik melalui filem KL Menjerit.

Bade ketika sesi sidang media baru-baru ini menafikan pengolahan filem itu dibuat seperti dokumentari namun itulah yang dirasai audien. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan