Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Ketua Menteri Pulau Pinang menempelak golongan agawamawan dalam Pas dan mengingatkan mereka mengenai dosa membuat fitnah dalam agama Islam.

“Pas juga serupa, fitnah jahat macam MCA, untuk Pas takkan mereka tidak tahu apa dosa fitnah itu?” ujar Lim Guan Eng dalam temubual Ubah TV secara langsung malam tadi.

Setiausaha DAP itu berkata demikian mengulas dakwaannya yang Pas juga memfitnah kerajaan DAP dalam pembangunan Islam di negeri berkenaan.

Pas sejak kebelakangan ini mengkritik kepimpinannya termasuk mendakwa campur tangan kerajaan negeri dalam urusan Majlis Fatwa Agama Islam.

Menurut Guan Eng, beliau tidak hairan kalau parti komponen BN seperti MCA mengkritik pihaknya memberi bantuan kepada orang Islam namun perkara yang sama juga dilakukan oleh Pas.

Menurutnya, kerajaan negeri meningkatkan bantuan kepada pembangunan agama Islam sebanyak 100 peratus baru-baru ini.

Dalam pada itu, Guan Eng menjadikan bekas Pengurus Manchester United (MU), Sir Alex Ferguson yang diminatinya sebagai model pentadbirannya dalam kerajaan negeri.

“Kualiti Alex Ferguson kerana pengurusannya berjaya sejarah Liga Perdana Inggeris kerana beliau tahu dan faham macam mana hendak urus pemain-pemain.

“Kualiti paling sukar guna bakat sedia ada jadikan satu pasukan yang hebat dan menjadikan pasukan lebih utama daripada individu,” ujarnya sambil menambah resipi itu menyebabkan MU memenangi piala trebble pada tahun 1999.

Bagaimanapun, semasa MU meraikan kemenangan itu beliau ditahan di Penjara Kajang.

“Saya tahu lambat (kemenangan MU) sehingga kawan-kawan saya berseloroh, kalau mahu tengok MU menang lagi saya kena masuk penjara lagi..itu saya tak mahu,” katanya.

Mengenai prestasi Jose Mounrinho yang kini menguruskan MU, Guan Eng berkata, Mounrinho tidak sehebat Ferguson.-MalaysiaGazette